Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tempoh kuarantin dipendekkan dari 14 ke 10 hari
Diterbitkan:  Dec 13, 2020 7:52 PM
Dikemaskini: Dec 14, 2020 3:21 AM

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengumumkan tempoh kuarantin untuk pengembara yang pulang dari luar negara dipendekkan kepada 10 hari berbanding 14 hari.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata perubahan itu juga dibuat untuk pengurusan ke atas kontak rapat Covid-19.

Katanya ia terpakai bagi perintah pengawasan dan pemerhatian yang dilaksanakan di pusat kuarantin yang diwartakan atau di kediaman, berkuat kuasa mulai 14 Dis.

Menurut Noor Hisham KKM mengkaji untuk memendekkan tempoh kuarantin selaras dengan situasi semasa Covid-19 di Malaysia dan laporan klinikal terkini dari seluruh dunia.

"Sehingga kini, beberapa negara menyemak semula tempoh masa kuarantin wajib di negara masing-masing.

"Negara United Kingdom, Jerman dan Belgium menurunkan tempoh kuarantin daripada 14 hari kepada 10 hari, manakala bagi Perancis mengambil tempoh masa kuarantin wajib selama tujuh hari," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Noor Hisham semakan bukti saintifik klinikal terkini mendapati risiko jangkitan pascakuarantin akan berkurangan mengikut tempoh masa kuarantin.

Katanya kadar kebolehjangkitan adalah tertinggi pada minggu pertama selepas pendedahan.

"Justeru berdasarkan pelaksanaan tempoh kuarantin negara-negara lain di dunia dan laporan saintifik klinikal semasa, tempoh perintah pengawasan dan pemerhatian bagi pengembara yang pulang dari luar negara serta pengurusan kontak rapat di Malaysia dikurangkan daripada 14 hari kepada 10 hari.

"Ia terpakai bagi perintah pengawasan dan pemerhatian yang dilaksanakan di pusat kuarantin yang diwartakan atau di tempat kediaman," katanya.

Lihat Komen
ADS