PKPD di Kg Desa Bajau, Dasar Baru dilanjutkan lagi
Perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Kampung Desa Bajau dan Kampung Dasar Baru, Lahad Datu, Sabah yang dijadualkan tamat esok akan dilanjutkan selama 14 hari lagi sehingga 29 Dis ini.
Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata sehingga kini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan 1,439 ujian saringan dan sebanyak 238 kes kumulatif Covid-19 direkodkan di kedua-dua lokaliti berkenaan.
"KKM turut mengesahkan masih terdapat 1,160 baki sampel saringan yang menunggu keputusan dan risiko untuk berlaku penularan Covid-19 dalam kalangan penduduk berikutan kes aktif yang tinggi," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, PKPD di Asrama Top Glove di Klang, Selangor bermula 17 Nov lepas ditamatkan hari ini setelah KKM melaksanakan 5,805 saringan dengan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 4,305 kes.
"Setelah 28 hari pelaksanaan PKPD di kawasan ini, KKM mendapati terdapat trend penurunan kes positif yang dilaporkan dan tiada lagi sampel saringan yang menunggu keputusan," katanya.
Ismail Sabri berkata semua kes negatif juga menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) selama dua kali tempoh inkubasi Covid-19.
Katanya sehingga kini 14 daripada 28 kilang yang ditutup dibenarkan beroperasi semula selepas semua pekerja disaring dan kilang disanitasi, manakala baki 14 kilang lagi akan dibuka secara berperingkat.
"Pihak pengurusan Top Glove juga diarahkan untuk mematuhi arahan berkaitan pengurusan wabak Covid-19 dalam kalangan pekerja selepas penamatan PKPD ini," jelasnya.
Selain itu Ismail Sabri berkata PKPD di Pusat Tahanan Sementara Sibuga, Sandakan bermula 2 Dis lepas juga ditamatkan esok seperti yang dijadualkan.
Beliau berkata sehingga 11 Dis, KKM telah melaksanakan 1,062 ujian saringan dan sebanyak 217 kes kumulatif COVID-19 telah direkodkan.
"Bagaimanapun, sehingga kini hanya tinggal baki 29 kes aktif positif Covid-19 yang melibatkan tahanan dan kakitangan di pusat tahanan ini yang sedang dirawat," katanya.
Sementara itu, seramai 360 individu ditahan polis semalam atas kesalahan ingkar arahan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan daripada jumlah itu 340 dikompaun manakala 20 individu direman.
“Antara kesalahan ialah ingkar arahan PKP termasuk gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (186), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (100), tidak memakai pelitup muka (47), aktiviti pusat hiburan (10), lain-lain (17),’’ katanya.
Menurutnya Operasi Benteng semalam turut menahan 23 pendatang tanpa izin serta merampas lima kenderaan darat dan sebuah bot.
Kerajaan akan terus memperketatkan kawalan sempadan negara terutamanya di lorong-lorong tikus bagi mengekang mana-mana pihak dari cuba memasuki sempadan negara secara haram.
Sementara itu, sejak 24 Julai lepas sehingga semalam seramai 85,798 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 76 hotel serta 16 institut latihan awam dan institut pengajian tinggi swasta di seluruh negara.
“Daripada jumlah itu, seramai 10,979 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 528 individu dihantar ke hospital untuk rawatan manakala 74,291 individu telah dibenarkan pulang,” katanya sambil menambah kesemua mereka pulang dari 36 negara.
Mengenai Op Sanitasi Awam Covid-19 semalam, Ismail Sabri berkata sebanyak 27 operasi sanitasi dijalankan meliputi 10 zon merah, dua zon jingga, lapan zon kuning dan dua zon hijau membabitkan 12 negeri.
- Bernama

