Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ku Li tak hormati disiplin parti, kelirukan ahli - Umno
Diterbitkan:  Dec 16, 2020 10:02 AM
Dikemaskini: 2:04 AM

Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan, membidas tindakan veteran parti itu, Tengku Razaleigh Hamzah, yang mengadakan sidang media bersama Dr Mahathir Mohamad untuk mengajak ahli parlimen menolak Belanjawan 2021.

Kata Shahril apa yang dilakukan bekas menteri kanan itu jelas bertentangan dengan disiplin parti.

Menurutnya, sidang media bersama Mahathir itu bukan memberi kesan yang kecil sebaliknya mengelirukan ahli Umno berhubung pendirian mereka mengenai Belanjawan 2021.

"Sebagai orang muda dalam parti, sudah tentu saya hormat orang lama. Tetapi saya benar-benar tidak faham apa keperluan seorang ahli parlimen Umno yang senior, berpengaruh dan bertaraf penasihat tanpa segan silu buat sidang media bersama pembangkang.

"Kesannya bukan kecil, (ia) kelirukan orang di bawah (mengenai) apa sebenarnya stand Umno, tak menghormati disiplin parti yang memutuskan untuk sokong belanjawan" katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Kelmarin, Tengku Razaleigh mengadakan sidang media bersama bekas perdana menteri Mahathir untuk membayangkan Perikatan Nasional mungkin runtuh apabila belanjawan yang disediakan kalah dalam undian di Dewan Rakyat.

Kenyataan itu kemudian diiringi kenyataan Pakatan Harapan (PH) sejurus kemudian yang mengajak semua ahli parlimen menolak Belanjawan 2021.

Tengku Razaleigh juga mengulangi pendiriannya bahawa dia tidak mengiktiraf kerajaan PN serta perdana menterinya Muhyiddin Yassin dan tidak mengundi untuk menyokong belanjawan berkenaan.

Suarakan pandangan ikut saluran

Sebelum ini Ahli parlimen mewakili Gua Musang (dulu dikenali sebagai Ulu Kelantan) sejak 1974 itu juga pernah mendesak agar usul tidak percaya kepada Muhyiddin - yang dibawa Mahathir - dikemukakan di Dewan Rakyat.

Untuk rekod pada Julai lalu Tengku Razaleigh dilantik sebagai pengerusi Jemaah Penasihat Umno.

Dalam sidang media itu juga, Mahathir dan Ku Li berkata mereka sedia berkhidmat untuk negara ini tanpa sebarang gaji jika dikehendaki.

Shahril berkata Tengku Razaleigh tidak menghormati disiplin Umno dengan mengadakan sidang media politik bersama pemimpin besar parti lawan.

Mahathir dan Tengku Razaleigh pada 15 Dis

Tambah Shahril, dalam pengundian semalam semua ahli parlimen Umno mematuhi arahan presiden mereka Ahmad Zahid Hamidi supaya menyokong Belanjawan 2021, kecuali Tengku Razaleigh.

Dalam pada itu, Shahril berkata parti itu sedar ada ahli parti yang setuju dan kecewa apabila Umno menyokong belanjawan itu namun dia memberikan justifikasi atas pendirian berkenaan.

"Ada yang setuju, ada yang kecewa. Rasional Umno menyokong belanjawan tentunya ada kaitan dengan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan dibuat setelah meneliti baik buruk sebarang keputusan terhadap kebajikan rakyat amnya," katanya.

Jelasnya, Umno mempunyai pendekatan dan strategi lain selepas ini bagi memastikan perjuangannya untuk rakyat terbela.

Shahril berkata soal setuju atau tidak sesuatu dasar atau pendekatan adalah lumrah dalam mana-mana organisasi.

Mereka yang tidak berpuas hati katanya boleh menyuarakan pandangan melalui saluran disediakan.

"Tetapi apabila terang-terang mengumum dan mengajak ke arah sesuatu tindakan dasar tanpa izin parti, bertentangan dengan parti - itu cerita lain," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS