Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun perlu mengutamakan pelantikan pegawai perlindungan kanak-kanak berbanding mengisi kekosongan jawatan kontrak dan menjadikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai cabang politiknya.

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh berkata jika langkah itu diambil barulah ia dapat membuktikan keseriusan Rina menstrukturkan semula JKM.

Turut ditekankan Yeoh ialah pelantikan pegawai psikologi dan pegawai kebajikan untuk membuat siasatan ke atas permohonan bantuan yang diterima agensi berkenaan.

"Jika Rina benar-benar serius mengenai penstrukturan semula JKM ini, perlu terlebih dulu memberi keutamaan kepada pertambahan pegawai pelindung kanak-kanak iaitu sekitar 1,500 orang, pegawai psikologi dan pegawai kebajikan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama Yeoh turut mengingatkan pelantikan bagi mengisi 8,000 kekosongan jawatan kontrak tidak wajar dibuat seperti pelantikan sukarelawan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) yang dibayar elaun.

"Sehingga kini beliau masih belum menafikan dakwaan bahawa mereka (yang dilantik ke YKN) merupakan ahli Srikandi Bersatu.

"Rina jangan menjadikan JKM sebagai cabang politiknya," kata Yeoh yang juga bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat semasa kerajaan Pakatan Harapan.

Sebelum ini Astro Awani melaporkan Rina memberitahu JKM akan memulakan pengambilan kakitangan kontrak seramai 8,000 orang mulai tahun depan atas alasan bagi meningkatkan keupayaan jabatan tersebut.

Menurut Yeoh cadangan penstrukturan semula JKM melalui pertambahan 8,000 kakitangan kontrak itu dilihat tidak mencerminkan keperluan sebenar agensi berkenaan di lapangan.

Katanya cadangan penstrukturan sebenarnya dibuat semasa kementerian tersebut diketuai Dr Wan Azizah Wan Ismail selepas mereka melakukan audit dan berdasarkan kajian pengurusan organisasi JKM oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) antara Dis 2018 hingga Mei 2019.

"Sehingga kini jumlah keseluruhan kakitangan JKM adalah seramai 6,000 orang.

"Timbul persoalan bagaimana boleh berlaku pertambahan kakitangan secara kontrak sejumlah 8,000 orang hanya untuk sebuah agensi kerajaan sahaja," katanya.

Menurut Yeoh pelaksanaan kerja kebajikan sosial tidak sama dengan aktiviti politik.

"Rina harus mula membuktikan komitmennya dengan pembentangan Rang Undang-undang Profesion Kerja Sosial terlebih dulu dan perlantikan lebih ramai pegawai pelindung kanak-kanak serta memastikan mereka mendapat latihan yang secukupnya.

"Ini bukan persoalan lantikan sukarelawan politik, ini persoalan nyawa kanak-kanak yang sedang dipertaruhkan," katanya.