Kes baru penularan wabak Covid-19 terus berada di empat angka dan dilaporkan telah mengatasi jumlah kes terkumpul di China, tempat virus berkenaan dipercayai merebak.

Setakat jam 12 tengah hari ini, kes baru yang dicatatakan adalah 1,295 berbanding 1,371 semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu menjadikan kes terkumpul positif Covid-19 di Malaysia berjumlah 87,913 kes dengan kes aktif sebanyak 14,751. China pula mempunyai 86,770 kes kumulatif.

Lembah Klang masih mencatatkan kes tertinggi, iaitu 55 peratus daripada semua kes baru, hari ini ini dengan Selangor mempunyai kes terbanyak iaitu 481 dan Kuala Lumpur pula mencatatkan 232 kes.

Negeri-negeri lain adalah seperti berikut:- Sabah (268), Johor (105), Pulau Pinang (69), Negeri Sembilan (60), Perak (35), Melaka (14), Pahang (13), Kedah (9), Putrajaya (4), Labuan (3), Terengganu (1) dan Kelantan (1).

Sarawak dan Perlis tidak mempunyai sebarang kes.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan bahawa terdapat lapan kluster baru telah dikenal pasti pada hari ini.

Kluster itu adalah seperti berikut:

  • Puncak Galaksi - Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Kuala Selangor dan Klang di negeri Selangor.
  • Bukit Punai - Ini melibatkan daerah Kota Kinabalu, Sabah.
  • Tapak Bina Permai - Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Lembah Pantai di Kuala Lumpur.
  • Tapak Bina Matahari - Ini pula melibatkan daerah Titiwangsa di Kuala Lumpur.
  • Tapak Bina Laut - Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Lembah Pantai, Cheras dan Kepong di Kuala Lumpur.
  • Cahaya Mahsuri - Ini melibatkan daerah Johor Bahru, Kota Tinggi dan Pontian di negeri Johor.
  • Seri Tasik - Kluster ini melibatkan daerah Perak Tengah dan Kinta di negeri Perak.
  • INTEN - Ini pula membabitkan daerah Kuantan di Pahang.

"Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 230 kluster termasuk satu kluster yang tamat pada hari ini iaitu kluster Murni di Kuala Lumpur," katanya.

Sementara itu, daripada keseluruhan 1,295 kes baru hari ini, terdapat 10 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan terdapat sebanyak 1,052 kes pulih Covid-19. Dengan perkembangan itu, katanya, ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 72,733 atau 82.7 peratus.

“Sehingga kini, terdapat 113 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 53 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan tujuh kes kematian berkaitan Covid-19," katanya.

Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid19 di Malaysia sekarang adalah sebanyak 429 kes atau 0.49 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.