Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Kita perlukan harapan baru'
Diterbitkan:  Dec 16, 2020 11:39 PM
Dikemaskini: Dec 17, 2020 12:18 AM

Selepas Belanjawan 2021 diluluskan di Dewan Rakyat semalam, tiga ahli parlimen wanita DAP memberi isyarat bahawa gabungan pembangkang perlu membuat perubahan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan bersama oleh Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching, Ahli Parlimen Bakri Yeo Bee Yin, dan Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh, mereka memberi gambaran bahawa pembangkang perlu memberikan harapan baru setelah melalui kekecewaan kebelakangan ini.

"Ketika kita hampir melabuhkan tirai tahun ini, kita perlukan impian yang baru. Harapan baru. Pengorbanan daripada diri sendiri wajib dilakukan oleh kita semua dengan meletak tepi semua agenda peribadi demi membina sebuah impian yang kolektif.

"Jika seorang, kita mungkin agak terbatas - minat dan cita-cita kita. Dua tentunya lebih baik daripada seorang. Tetapi tiga tali disimpul tentunya sukar diputuskan (sepertimana persahabatan kami).

"Harga sebuah perpaduan tidak ternilai harganya. Kita perlu kembali semula ke meja rundingan dan memikirkan kembali apa yang dapat kita tawarkan kepada tanah air ini dan rakyatnya? Doakan kami mempunyai keberanian untuk melakukan perubahan – sekali lagi," kata kenyataan bersama itu

Mereka juga menyatakan kekecewaan kerana menganggap banyak isu penting telah dibangkitkan di parlimen selama perbahasan belanjawan, tetapi tidak mendapat jawapan yang memuaskan daripada menteri Perikatan Nasional.

Namun, ketika pembangkang akhirnya bersatu untuk menolak belanjawan, katanya, mereka tidak berjaya meraih undi yang cukup.

Dalam undian rang undang-undang perbekalan 111 MP menyokong, 108 MP menentang, dan satu MP tidak hadir.

Undian itu dilihat sebagai suara keyakinan terhadap kepemimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, tetapi kegagalan pembangkang untuk menyekatnya telah menimbulkan persoalan mengenai kredebiliti Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.

 

Lihat Komen
ADS