Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lima sekeluarga bermalam di RnR, Uncle Kentang hulur bantuan

Nasib lima sekeluarga yang diusir dari rumah sewa mereka sehingga terpaksa bermalam di Hentian Rehat dan Rawat (RnR) mendapat perhatian daripada Presiden Persatuan Kepolisan Masyarakat (CP) Malaysia, Kuan Chee Heng.

Kuan atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang berkata, dia dihubungi polis peronda dari Ibu Pejabat Polis Daerah (PD) Brickfields selepas pihak berkuasa menerima laporan orang awam pada 8 Dis lalu.

Difahamkan, lelaki berkenaan yang hanya dikenali sebagai Chong membawa isteri dan anak-anaknya bermalam di R&R Awan Besar Lebuh Raya Shah Alam dan tinggal di situ selama lima hari sebelum Kuan tampil memberikan bantuan.

Menurut Kuan, tiga anak pasangan itu terdiri daripada dua anak lelaki berusia dua dan empat tahun serta seorang anak perempuan berusia lima tahun.

"Polis hubungi saya waktu malam kejadian dan saya sangat sebak mereka sanggup menunggu saya sampai dalam 40 minit.

"Polis sanggup tunggu lama sebab ada budak perempuan (anak pasangan terbabit), takut jadi apa-apa hal.

"Saya sampai di lokasi tersebut, dan saya bawa mereka pergi ke hotel," katanya ketika dihubungi Malaysiakini. 

Menurutnya, keluarga tersebut diusir dari bilik sewa mereka di Taman Wawasan Puchong kerana gagal melunaskan bayaran sewa bulanan.

"Dia kena halau keluar dari bilik.

"Saya sedang dapatkan satu bilik untuk mereka di Puchong dan saya akan cuba bayar sewa semua," katanya yang pernah bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil Dun Semenyih.


Lihat Komen
ADS