Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hassan pula tawarkan diri disuntik vaksin Covid-19
Diterbitkan:  Dec 17, 2020 9:55 AM
Dikemaskini: 1:55 AM

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, menawarkan diri untuk menjadi orang pertama dalam kawasan parlimennya untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

Hassan menjadi wakil rakyat kedua selepas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Bung Moktar Radin, yang menawarkan diri untuk menerima suntikan vaksin berkenaan.

"Saya Hassan Abdul Karim Ahli Parlimen Pasir Gudang dengan sesungguhnya dan suci hati mengisytiharkan bahawa saya menawarkan diri untuk menjadi orang pertama dalam kawasan Parlimen Pasir Gudang untuk menerima Vaksin menentang Covid-19.

"Tujuan saya membuat pengisytiharan ini untuk memberi keyakinan kepada rakyat di Pasir Gudang, di Johor dan di seluruh Malaysia bahawa vaksin yang akan digunakan dalam program suntikan kelolalan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah selamat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 9 Dis lalu, Bung Moktar - yang menyifatkan dirinya sebagai panglima perang - menawarkan diri menjadi orang pertama di Malaysia menerima suntikan vaksin Covid-19.

Ahli parlimen Kinabatangan itu berkata dia bersedia untuk diuji dengan vaksin tersebut.

“Saya dengar khabar, bahawa vaksin ini sudah ada, dan Indonesia dah memeterai perjanjian dengan China dan negara-negara lain. Kenapa Malaysia belum? Kalau (sudah) ada vaksin ini, keluarkanlah.

“Dan kalau perlu diuji awal-awal, sayalah orang pertama menawarkan diri, ujilah, saya tak takut. Saya mahu sihat,” katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa bagi KKM di Dewan Rakyat.

Menurut Hassan orang ramai perlu mendapatkan semula kebebasan seperti yang pernah dirasai sebelum seluruh dunia dibayangi wabak berbahaya tersebut.

"Bersama-samalah kita perangi pandemik Covid-19 ini untuk kita mendapatkan kembali kebebasan, kemerdekaan dan cara hidup kita sebagai masyarakat manusia yang bermaruah," katanya.

Lihat Komen
ADS