Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Keputusan undi belah bahagi yang menyaksi Perikatan Nasional (PN) menang tipis dalam kelulusan belanjawan 2021 memberikan tafsiran tersendiri apabila Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub menyebut perkataan grand coalition (gabungan besar).

Salahuddin berkata menerusi ciapan Twitternya bahawa “Kita bina grand coalition hadapi cabaran seterusnya.

Namun tercetus pertanyaan apakah yang dimaksudkan dengan grand coalition itu?

Salahuddin mungkin bermaksud dengan koalisi besar membina barisan pembangkang yang kukuh, padu dan mantap. Bagi saya adakah koalisi besar ini bersetuju ahli parlimen Port Dickson, Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri baharu?

Ini kerana dalam koalisi besar yang disebutkan Salahuddin terdiri juga Pejuang dan Warisan. Jika ditolak undian daripada kedua-dua parti itu Pakatan Harapan (PH) hanya mempunyai 96 undi.

Salahuddin Ayub 

Kita masih tidak tahu adakah ahli parlimen bebas menyokong Anwar?

Adakah gabungan kedua tokoh politik legenda tanah air Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah yang dikatakan atas dasar menyelamatkan negara dapat juga ditakrifkan sebagai terangkum dalam koalisi besar itu?

Bekas penasihat media perdana menteri, A Kadir Jassin berkata Dr Mahathir dan musuh politiknya Tengku Razaleigh atau Ku Li mempunyai rancangan besar. Apakah rancangan besar itu masih menjadi tanda tanya.

Adakah rancangan besar ini mempunyai matlamat menjatuhkan kerajaan PN dan pada masa yang sama mengetepikan kepimpinan pembangkang atau PH yang diketuai Anwar?

A Kadir Jassin berkata:

"Jadi apabila mereka berkongsi sidang media dan bercakap berkenaan kejatuhan kerajaan PN, tentulah mereka mempunyai asas yang kuat," katanya dalam hantaran di media sosial.

Namun pada pandangan saya gabungan kedua-dua politikus besar tanah air ini juga mempunyai asas yang kuat untuk menggantikan Anwar sebagai ketua pembangkang.

Anwar mestilah mengorak langkah atau menyusun strategi yang padu dengan keyakinan bahawa mendapat sokongan 113 ahli parlimen seperti didakwa baru-baru ini untuk mematahkan sebarang usaha menggantikannya sebagai ketua pembangkang.

Lazimnya siapa yang menjadi ketua pembangkang akan menjadi perdana menteri.

Ketika Dr Mahathir mendapat sokongan beberapa ahli parlimen Umno, Ku Lim - pengerusi Jemaah Penasihat Umno - akan memperoleh sokongan daripada beberapa ahli Umno yang lain, menjadikan sokongan kepada Anwar makin merosot.

Umno cuba dipecah-pecah

Umno yang kelihatan gagah bagaikan singa dilihat seolah-olah cuba dipecah-pecah dan dilemah-lemahkan oleh hulubalang-hulubang politik daripada Pejuang, tokoh dalaman Umno dan Bersatu.

Pakatan-pakatan baharu yang sedang dibina juga sedang berlaku dalam kalangan pembangkang, yang satu konfigurasi sedang dicaturkan. Langkah Warisan misalnya dilihat mensejajarkan dengan gabungan Dr Mahathir-Ku Li.

Adakah ini dimaksudkan sebagai rancangan besar atau grand coalition?

Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal berkata partinya akan bertapak di kawasan yang mempunyai populasi masyarakat berasal daripada negeri itu yang ramai di semenanjung.

Beliau berkata, Warisan turut akan membuka cawangan atau bahagian di kawasan lain yang tiada masyarakat Sabah tetapi mempunyai permintaan.

Katanya langkah yang bakal dilakukan parti itu adalah perkara yang dibenarkan dalam perlembagaan negara dan Warisan bukan parti pertama daripada Sabah yang berbuat demikian.

"Tidak hanya Warisan, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Progresif Kinabalu Bersatu (Upko) pernah bertanding di semenanjung seperti di Perak, di Pulau Pinang.

“Jadi seperti yang saya nyatakan, kalau parti dari semenanjung boleh wujud di Sabah, mengapa pula parti dari Sabah tidak boleh wujud di Semenanjung.

“Walaupun sesetengah penganalisis politik tidak bersetuju dengan cadangan Shafie itu kerana objektifnya yang akan tersasar dan terdapat pandangan bahawa terdapat kalangan pemimpin yang ‘anti-Putrajaya’ tetapi jika Shafie adalah calon perdana menteri, adakah para pemimpin masih bersikap ‘anti-Putrajaya’?”

Bahkan nama Shafie sebagai calon perdana menteri di samping Anwar pernah dinyatakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Dr Mahathir menamakan Shafie sebagai calon perdana menteri blok pembangkang walaupun gagal mempertahankan kerajaannya dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah sebelum ini.

Menurut Dr Mahathir, Pengerusi Pejuang, Shafie tetap akan dinamakan sebagai calon perdana menteri jika mereka menang pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Mahathir berkata, beliau dan lima ahli parlimen lain berpegang dengan keputusan akhir mesyuarat tidak rasmi antara beliau sendiri, DAP, Amanah, dan Warisan pada 25 Jun lepas.

Kata beliau lagi, walaupun Majlis Presiden Pakatan Harapan telah menamakan Anwar sebagai calon perdana menteri, ia tidak melibatkan beliau dan rakan-rakan dari Bersatu mahupun Warisan.

Kebijaksaaan gabungan baharu dapat dilihat dalam cubaan membunuh dua ekor burung dengan satu batu - menjatuhkan PN dan pada masa yang sama menjatuhkan kepimpinan Anwar sebagai ketua pembangkang, yang akhirnya melahirkan kerajaan perpaduan.

Tidakkah ini tanda-tanda satu rancangan besar akan berlaku? Adakah Amanah dan DAP akan berubah haluan walaupun telah menyatakan kesetiaan kepada Anwar? Adakah PKR ditinggalkan sendirian dalam PH apabila pembangkang menjadi kerajaan?

Biawak hidup, sang oportunis

Walaupun isu mesej Ketua Pemuda PKR (AMK) Akmal Nasrullah Mohd Nasir telah selesai setelah berjumpa dengan Anwar di parlimen, ia masih mencetuskan persoalan.

Bahkan ini yang mendorong bekas naib presiden PKR, Rafizi Ramli, yang bersara daripada politik untuk kembali bersuara, memberi peringatan kepada Anwar supaya tidak memikul “biawak hidup” dan membiarkan "oportunis" mengelilingi dirinya.

Rafizi mempertahankan ketua AMK itu dengan berkata kritikan Akmal mempunyai asas. Akmal dilihat sebagai hasil didikan Rafizi ketika dia aktif memimpin PKR.

Di samping itu slogan-slogan seperti “no Anwar no DAP" - walaupun tidak semestinya relevan pada setiap masa seperti dijelaskan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Dr Puad Zarkashi, atau sekadar gimik propaganda - intipatinya pada masa-masa tertentu boleh ditafsirkan sebagai rancangan menjatuhkan Anwar sebagai ketua pembangkang.

Rafizi Ramli

Ini berikutan banyak desakan pakatan pembangkang supaya Anwar menujunjukkan bukti yang beliau mempunyai majoriti di Dewan Rakyat.

Seperti diperkatakan aktivis Otai Reformis, Abdul Razak Ismail, Anwar tidak harus membuang masa dengan dakwaan mendapat sokongan ahli parlimen bagi membentuk kerajaan baru.

Sebaliknya, kata penyokong tegar presiden PKR itu, sudah tiba masanya Anwar melangkah ke depan dan bertemu dengan pimpinan parti di setiap negeri.


ISMAIL HASHIM YAHAYA adalah pensyarah Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Komputeran, Universiti Selangor (Unisel).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS