Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata dia sedia memberikan kerjasama penuh kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang menyiasat kegagalan siapnya enam aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Katanya apa-apa maklumat yang berkaitan juga akan diberikan kepada PAC dalam prosiding berkenaan - yang dijadual berlansung pada Jan tahun depan.

"Mana-mana pihak yang menyebabkan kelewatan pembinaannya haruslah bertanggungjawab memberikan penjelasan kepada PAC.

"Saya sepenuh hati menyokong pendedahan PAC dan semoga ketelusan siasatannya diketahui umum," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Semalam PAC memberitahu mereka akan memanggil Ahmad Zahid bagi membolehkan siasatan berhubung kelewatan enam kapal peronda generasi kedua untuk TLDM dibekalkan.

Kapal tempur pesisir (LCS) itu dibina dengan kos kira-kira RM9 bilion.

Untuk rekod ketika BN menjadi kerajaan sebelum PRU ke-14 lalu Ahmad Zahid merupakan menteri pertahanan.

Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata turut akan dipanggil ialah mantan panglima tentera laut Abdul Aziz Jaafar dan kontraktor utama projek tersebut, Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS). 

“PAC juga akan menjalankan lawatan ke atas tapak pembinaan kapal LCS di Lumut, Perak pada Januari 2021,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid LCS itu dibina BNS iaitu anak syarikat Boustead Holdings Bhd (Boustead).

Saham terbesar syarikat Boustead itu pula katanya adalah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).