Paling Popular
Terkini

Sejak dari awal saya mempunyai kesedaran politik atau sekurang-kurangnya memahami cara tanggapan politik di Malaysia, nama Mahathir Mohamad pasti akan muncul di setiap perbincangan atau pertelagahan tentang politik.

Jika ketika Syed Saddiq Syed Abdul Rahman masih hijau dalam dunia politik, beliau pernah menganggap Lim Guan Eng sebagai jelmaan kejahatan atau embodiment of evil, Mahathir Mohamad pula sebaliknya ialah jelmaan hubungan “cinta tapi benci” antara negara ini dan rakyatnya.

Mahathir dahulunya satu nama yang gah dan hal ini memang tak dapat disangkal.

Namun kini, seperti berlalunya usia beliau yang semakin senja, rasa hormat dan puji-pujian yang pernah dinikmati sebagai ahli politik yang kejam dan tegas (daripada segi tindakan dan kata-kata) juga semakin berlalu.

Mahathir digelar dunia Barat sebagai Young Turk – seseorang yang progresif dan pembawa perubahan radikal – watak penting yang membuka pintu kepada Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn, Tun Abdullah Badawi dan yang terkini, Najib Razak.

Mungkin ada yang mempertikaikan bahawa beliau sendiri juga pernah terpalit darah kesan daripada keputusannya untuk meletakkan jawatan pada awal tahun baru-baru ini.

Satu tindakan yang mencetuskan Langkah Sheraton dan membentuk laluan kepada Muhyiddin Yassin, bukan Anwar Ibrahim, untuk mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan.

"Jangan dengar kata-kata beliau, tetapi tumpukan perhatian kepada perkara yang beliau lakukan.”

Ini nasihat paling bijaksana yang pernah diberikan kepada saya ketika cuba meneka langkah Mahathir yang seterusnya.

Mungkin, siri TV The Queen’s Gambit (bawah) di Netflix yang mendapat pujian itu diinspirasikan oleh gerakan tangan Mahathir yang lincah di pentas politik Malaysia, diwarnai oleh drama, skandal, misteri, mitos dan sedikit kuasa ajaib.

Adakah Mahathir cuba bertahan terlalu lama? Apakah beliau ke gunung tapi tak dapat anginnya? Mungkinkah beliau kehilangan sayap untuk kekal terbang dalam satu perjalanan kerjaya politik yang panjang?

Sedarkah Mahathir bahawa kita rakyat Malaysia akhirnya sudah meneruskan hidup?

Melepaskan anak gadis

Atau ada lagikah muslihat yang tersimpan di sebalik bush jacket beliau yang terkenal itu?

Jawapan itu jelas pada mata kita tetapi tidak di mata Mahathir dan konco-konconya.

Dilema Mahathir boleh diumpamakan seperti seorang ayah yang risau untuk melepaskan anak gadisnya berdiri dan berjalan bebas.

Beliau risaukan anak gadisnya jatuh dan menangis.

Beliau mengawalnya dengan rapi, membalutnya dengan kemas, menghalang sinaran mentari yang membakar, melindunginya dari pandangan lelaki dan berusaha sehabis daya untuk mengekalkan anak kesayangannya di situ tanpa menyedari anak gadisnya sudah membesar menjadi wanita cantik yang bijak berdikari.

Beliau gagal melepaskannya pergi. Masanya sudah tiba. Malah sudah terlewat.

Biarlah hari ini menjadi satu peringatan kepada semua ahli politik di luar sana. Tidak kira seberapa jujur, ikhlas dan mulia niat anda, mungkin lebih bijak jika kita biarkan saja.

Biarkan bunga negara Malaysia yang tercinta ini berkembang mekar dengan bebas, kerana ‘gadis’ ini tidak lagi bertatih tetapi sudah keluar dari kepompong pelukan ayahanda.

Niat beliau suci. Sumbangan beliau pula tidak terkira dan dicemburui banyak pihak.

Kemuliaan dan kecintaan beliau terhadap negara ini tidak mungkin dapat dipersoalkan. Kita perlu melepaskan Mahathir Mohamad pergi.

Kita mesti membiarkan Mahathir Mohamad menjadi suami, ayah, datuk dan moyang. Masalah negara ini tidak sepatutnya tergalas di bahunya lagi.

Kita perlu lakukan semua ini untuk Mahathir Mohamad, seorang negarawan yang ulung. Kita terhutang budi pada wira ini.

Tidak kira sama ada anda menyayangi beliau atau membencinya, kita mesti melepaskan beliau pergi supaya beliau boleh melakukan perkara yang sama.

Bukankah itu perasaan cinta tapi benci yang disebut orang?


SHAHIR ADNAN ialah Ketua Pemuda Ikatan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS