Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
KKM sahkan 1,771 kes jangkitan di kalangan petugas kesihatan
Diterbitkan:  Dec 18, 2020 7:14 PM
Dikemaskini: 11:40 AM

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) buat pertama kali hari ini mengesahkan jumlah kumulatif petugas kesihatan yang dijangkiti Covid-19 adalah seramai 1,771 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 1,359 atau 76.7 peratus kes-kes tersebut berlaku semasa gelombang ketiga pandemik Covid-19.

“Pada 18 Disember, seramai 280 petugas sedang menerima rawatan di hospital dan berada dalam keadaan stabil dengan kadar sembuh sebanyak 84.2 peratus.

“Manakala seramai 1,697 petugas kesihatan di seluruh negara sedang menjalani Perintah Pemerhatian dan Pengawasan (Home Surveillance Order–HSO) sama ada di tempat kediaman atau di stesen kuarantin,” katanya sambil menambah ini termasuk 43 kes baharu di kalangan petugas kesihatan pada hari ini.

Dia juga memaklumkan jururawat adalah kumpulan utama petugas yang dijangkiti dengan 690 kes.

Ini diikuti oleh pegawai perubatan atau doktor dengan sebanyak 211 kes. Turut tidak terkecuali adalah pegawai perubatan siswazah dengan sebanyak 84 kes. Pertugas kesihatan lain adalah pembantu perawatan kesihatan (146 kes) dan pembantu pegawai perubatan (144 kes).

Berdasarkan siasatan yang telah dilakukan, dia juga memberi butiran jangkitan seperti berikut:-

  • 587 atau 33.1 peratus petugas mendapat jangkitan dari komuniti;
  • 565 atau 31.9 peratus berlaku di antara petugas-petugas kesihatan;
  • 152 atau 8.6 peratus jangkitan berkaitan dengan pesakit-pesakit yang masih belum disahkan mendapat jangkitan Covid-19;
  • 58 atau 3.3 peratus tidak diketahui punca, dan
  • 409 atau 23.1 peratus lagi punca jangkitan masih dalam siasatan

“Pada 18 Disember, seramai 280 petugas sedang menerima rawatan di hospital dan berada dalam keadaan stabil dengan kadar sembuh sebanyak 84.2 peratus.

“Manakala seramai 1,697 petugas kesihatan di seluruh negara sedang menjalani Perintah Pemerhatian dan Pengawasan (Home Surveillance Order–HSO) sama ada di tempat kediaman atau di stesen kuarantin,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, hospital-hospital di Lembah Klang yang melaporkan kes jangkitan Covid-19 tertinggi adalah daripada Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang dengan 54 kes dan Hospital Serdang dengan 29 kes.

Hospital lain adalah Hospital Sungai Buloh (15 kes), Hospital Kuala Lumpur (10 kes), Hospital Ampang (5 kes) dan Hospital Selayang (4 kes).

Katanya, peningkatan kes yang mendadak dalam kalangan petugas kesihatan di negeri-negeri Lembah Klang adalah dipercayai berkait rapat dengan peningkatan kes dalam kalangan komuniti.

“Situasi seumpama ini, iaitu peningkatan kes dalam kalangan petugas kesihatan pernah dialami oleh negeri Sabah ketika peningkatan penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan komuniti berlaku di sana.

“Walau bagaimanapun, kes-kes di kesemua hospital yang terlibat masih dalam keadaan terkawal dan perkhidmatan kesihatan masih lagi diteruskan,” katanya.

Mengulas laporan bahawa mengenai jangkitan di kalangan petugas dan juga pesakit, Dr Noor Hisham memaklumkan bahawa pihaknya sedang giat menjalankan saringan.

“KKM ingin memaklumkan bahawa kesemua petugas-petugas dan pesakit tersebut sedang dirawat di wad dan berada dalam keadaan stabil.

“Pihak HTAR dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang sedang giat bekerjasama dalam menyiasat punca jangkitan dan mengenalpasti kontak rapat kepada kes serta melakukan aktiviti-aktiviti saringan,” katanya.

Menurutnya, sehingga hari ini, terdapat seramai 72 petugas HTAR sedang menjalani perintah HSO.

“Operasi pembersihan dan disinfeksi persekitaran telah dilakukan di HTAR dan akan diteruskan secara berkala. Situasi semasa di HTAR ini adalah dalam keadaan yang terkawal dan perkhidmatan di hospital ini masih diteruskan seperti biasa,” katanya.


Lihat Komen
ADS