Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rundingan kerusi: Kenyataan Asyraf disalah tafsir, kata Annuar

Kenyataan Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa perbincangan agihan kerusi tidak lagi berasaskan perbincangan antara Umno dengan PAS tetapi BN dan Perikatan Nasional (PN) telah disalah tafsir, kata Setiausaha Agung BN Annuar Musa.

"Yang dimaksudkan Asyraf Wajdi ialah perundingan yang akhir selepas ini, kerana kita menghormati kedudukan PAS sebagai ahli parti PN, itu maksudnya.

"Jadi, mungkin dalam perundingan itu, PAS terlibat tetapi atas platform PN. Serupa juga di sebelah Umno, kita kata BN, supaya setelah kita selesai antara Umno, MCA, MIC, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) kita sudah ada kerangka dan boleh duduk atas nama BN dan juga PN, itu di peringkat Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Perunding yang dipengerusikan Mohamad Hasan," katanya.

Annuar berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kawasan serta menghadiri Program Penyerahan Bantuan Makanan dan Pelitup Muka kepada penduduk di Blok C Flat Taman Segar Jalan Persiaran Lemak, Taman Segar Cheras di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Annuar, Umno masih meneruskan rundingan pembahagian kerusi dengan PAS dan parti komponen dalam BN, sebelum dibawa ke peringkat seterusnya antara BN dan PN.

"Perundingan berjalan terus dan telah berjalan tetapi peringkat berikutnya ialah peringkat 'gabungan' masing-masing. Jadi, mula-mula kita bincang di peringkat parti secara individu Umno-PAS, Umno-MCA, Umno-MIC dan Umno-PBRS, dalam PN juga mereka ada empat parti, sama macam dalam BN.

"Jadi, peringkat berikutnya adalah gabungan dengan gabungan, itu maksudnya," katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS