Tentera laut dalam kenyataan media 22 Dis 2020 menjelaskan pesara tentera yang dirujuk dalam berita di bawah bukan anggota Pasukan Khas Laut (Paskal) kerana gagal menamatkan kursus itu. Pembetulan telah dibuat. - Editor


Seorang pesara tentera dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu, hari ini, selepas didapati bersalah membunuh seorang warga emas dalam kejadian samun tiga tahu lalu.

Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan yang mewakili tertuduh, Zarmayade Abdullah ,44, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Justeru katanya, tertuduh disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang disabitkan hukuman gantung sampai mati.

Dalam prosiding kes tersebut peguam beka tertuduh, Wan Abdullah Thani memohon agar mahkamah meneliti latar belakang tertuduh sebelum menjatuhkan hukuman.

Mengikut pertuduhan, Zarmayade didakwa membunuh Rokiah Mamat, 61, di sebuah rumah di Kampung Mengkebang, Jalan Batu Lada, Kuala Krai, antara kira-kira jam 11 pagi hingga 3 petang pada 12 April 2017.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Sepanjang prosiding, pihak pendakwaan memanggil seramai 27 orang saksi untuk memberi keterangan berhubung kes itu.

Sebelum ini, media melaporkan Rokiah ditemui dalam keadaan berlumuran darah dipercayai disamun dan dibunuh di rumahnya di Kampung Batu Mengkebang, Kuala Krai.

Mangsa ditemui mati oleh anak keduanya yang bertugas sebagai seorang guru ketika pulang dari sekolah kira-kira jam 3.30 petang.