mk-logo
Berita
Tiba masa lantik ketua pembangkang baru, kata setiausaha Zuraida
Diterbitkan:  Dec 22, 2020 5:19 PM
Dikemaskini: 9:19 AM

Setiausaha politik kepada Zuraida Kamaruddin, Nor Hizwan Ahmad berpandangan sudah tiba masanya pembangkang menggantikan Anwar Ibrahim dengan ketua pembangkang yang baru.

Mengulas mengenai dakwaan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berhubung Perikatan Nasional (PN) merupakan “politik khianat,” Nor Hizwan berkata kenyataan Khalid tersebut sepatutnya ditujukan kepada Anwar yang juga Presiden PKR.

“Suasana ekonomi dan politik negara adalah tanggungjawab bersama manakala tuduhan Khalid patut dilemparkan kepada Anwar yang seringkali menggugat ketenteraman dan proses pemulihan ekonomi negara melalui kenyataan-kenyataan menggemparkan tentang dakwaan mempunyai jumlah ahli parlimen mencukupi untuk menjatuhkan kerajaan PN.

“Inilah ancaman yang mengakibatkan ketidakstabilan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Khalid dalam kenyataannya mengalu-alukan komitmen rakan gabungannya, PKR untuk memperkukuhkan PH, kerana merasakan ia merupakan jalan terbaik menumpaskan "budaya politik khianat: selepas Langkah Sheraton pada akhir Februari lalu.

Pada September lalu, Anwar membuat pengumuman sidang media di sebuah hotel, mendakwa bahawa dia memperolehi sokongan majoriti yang kukuh dan meyakinkan.

Bagaimanapun, baru-baru ini Belanjawan 2021 diluluskan dengan majoriti tipis apabila seramai 111 ahli parlimen menyokong manakala 108 lagi menolaknya.

Pada masa sama, menurut Nor Hizwan, dia dimaklumkan bahawa terdapat usaha oleh Anwar untuk menambah sokongan kerana menyedari bahawa jumlah 108 sedia ada tidak mencukupi .

“Sementara Anwar masih mengejar bayang-bayang, PN akan terus mengemudi negara dengan meletakkan kebajikan rakyat sebagai matlamat utama.

“Mungkin tiba masanya untuk pembangkang menamakan Ketua Pembangkang yang baru dan lebih berwibawa dan karismatik untuk menggantikan Anwar Ibrahim,” katanya.

Kerajaan PN yang terbentuk pada 1 Mac lalu ditubuhkan melalui Langkah Sheraton, yang menyaksikan kerajaan PH tumbang.

Selain tindakan Muhyiddin Yassin membawa Bersatu keluar dari gabungan itu, sekumpulan pemimpin PKR yang berpihak kepada Mohamed Azmin Ali turut menyertai PN.

Zuraida, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan sewaktu kerajaan PH dan PN yang ketika itu merupakan pemimpin kanan PKR merupakan salah seorang yang menyertai Azmin meninggalkan parti itu.

Lihat Komen
ADS