Angka kematian di Eropah melepasi 500,000 pada Selasa lalu, ketika varian baru Covid-19 dikesan di Britain, sekali gus menyukarkan langkah mengekang wabak berkenaan.

Laporan mengenai varian mutasi dari England itu mendorong penutupan sempadan dan memaksa berpuluh-puluh negara menutup sempadan mereka kepada pelancong Britain minggu ini, lapor Reuters.

Itali, negara dengan jumlah kematian tertinggi di Eropah, pada Ahad lalu mengesan seorang pesakit yang dijangkiti varian baru berkenaan seperti juga Denmark dan Perancis.

Untuk mengekang penularan, negara-negara Eropah mempertimbangkan untuk menyaring penumpang dalam penerbangan dari UK dan mewajibkan kuarantin kepada pelancong semasa ketibaan mereka.

Awal bulan ini, United Kingdom menjadi negara pertama meluluskan vaksin Pfizer Inc - BioNTech diikuti oleh Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan negara-negara lain.

Eropah melaporkan sekitar 30 peratus kematian akibat Covid-19 dari seluruh dunia setakat ini, menurut Reuters.