Malaysiakini
BERITA Malaysiakini

18,000 kontraktor tunggu bayaran RM23.7 bilion

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Terdapat kira-kira 18,000 kontraktor atau sub-kontraktor masih belum menerima bayaran berjumlah kira-kira RM23.7 bilion sejak tahun 2000, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Samy Vellu.

"Ia adalah satu jumlah yang amat besar yang merupakan lebih kurang 14 peratus dari peruntukan pembangunan Rancangan Malaysia Kelapan," katanya.

Katanya, jumlah tersebut hanya merupakan anggaran daripada satu kajian oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang melibatkan 330 kontraktor.

"Daripada 330 kontraktor tersebut, didapati 273 kes menghadapi masalah pembayaran, iaitu sama ada lambat dibayar atau tidak dibayar.

"Jumlah pembayaran yang lambat dibayar atau tidak dibayar dalam 273 kes itu adalah satu jumlah yang besar iaitu RM877.8 juta," katanya beliau kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kajian Semula Sektor Pembinaan 2005/2006 dan Peluang Masa Depan di ibunegara hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan akan menggubal Akta Pembayaran Industri Pembinaan dan Adjudikasi bagi memastikan pembayaran kepada kontraktor dalam tempoh yang ditetapkan.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata rang undang-undang itu dijangka dapat digubal pada tahun depan selepas mendapat persetujuan kerajaan.

"Akta ini bertujuan mengadakan jaminan bagi mendapat pembayaran dan juga remedi-remedi yang boleh dilaksanakan sekiranya bayaran gagal dibuat oleh pihak pembayar," katanya.

Baru-baru ini, pelbagai pihak termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah meminta supaya pembayaran kepada kontraktor dibuat dalam masa yang ditetapkan dan mengikut fasa projek yang disiapkan supaya mereka dapat menyiapkan keseluruhan projek mereka tanpa menghadapi masalah kewangan.

Masalah pembayaran

Samy Vellu berkata akta tersebut juga bertujuan memudahkan pengaliran wang tunai dalam industri pembinaan.

"Dalam akta ini nanti, kontraktor, perunding dan pembekal bahan-bahan binaan akan mendapat jaminan bagi mendapat bayaran dalam tempoh yang ditetapkan," katanya.

Samy Vellu berkata sekiranya bayaran tidak diperolehi oleh mereka dalam tempoh yang telah dipersetujui dalam kontrak, maka kontraktor, perunding dan pembekal bahan-bahan berhak mendapat bayaran faedah serta bayaran terus daripada sumber utama dan boleh meninggalkan kerja-kerja pembinaan.

Beliau menjelaskan bahawa masalah pembayaran bermaksud samada tidak mendapat bayaran, lewat mendapat bayaran atau tidak dibayar mengikut jumlah yang sepatutnya.

Katanya, terdapat pihak tertentu yang sengaja tidak mahu membayar atau sengaja melambat-lambatkan pembayaran walaupun pembayaran itu patut dan wajar diberi.

"Pihak yang terjejas dengan masalah pembayaran ini adalah semua pihak dalam keseluruhan rantaian nilai dalam pelaksanaan kerja-kerja pembinaan yang meliputi perunding, kontraktor, subkontraktor, pembekal bahan binaan dan lain-lain," katanya.

Samy Vellu berkata masalah pembayaran itu telah mengakibatkan kesan negatif terhadap pelaksanaan projek pembinaan seperti kualiti kerja yang rendah, kerja tidak dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan, kontrak dimansuhkan, kerja terbengkalai dan kos yang meningkat.