"Kenyataan saya disalahtafsir," kata Khairy

   

Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menjelaskan ucapannya di Jerlun, Kedah pada Jumaat lalu telah disalahtafsir hingga menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan beberapa pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau, maksud sebenar ucapannya semata-mata untuk memajukan Umno dan bukan berniat menjejaskan semangat muhibah yang didukung oleh parti-parti komponen BN selama ini.

Katanya apa yang ditegaskannya adalah semangat permuafakatan dalam BN dan Umno, sebagai tunjang utama BN, perlu terus menjadi sebuah parti yang kuat untuk kebaikan BN secara keseluruhannya.

"Apa yang saya katakan adalah untuk kita (BN) bersama-sama maju, kita perlukan Umno yang kuat. Kita harus mengakui bahawa kekuatan BN bersandar kepada Umno dan Umno perlu kuat untuk kebaikan BN keseluruhannya.

"Kerana, apabila Umno tidak kuat, maka banyak pihak akan ambil kesempatan dan seterusnya akan menjejaskan semangat muhibah dalam BN, bukannya mengambil kesempatan lain. Ini mesej saya sebenarnya, perkara ini tidak sepatutnya menjadi satu isu baru," jelasnya kepada wartawan selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda Umno Bahagian Kluang di Kluang.

Khairy berkata, beliau akan berjumpa Naib Ketua Pemuda MCA Datuk Ling Hee Leong (foto kanan) dalam masa terdekat untuk memperjelaskan maksud ucapannya itu.

Menurut laporan Bernama, beberapa akhbar berbahasa Cina hari ini melaporkan reaksi pemimpin berkenaan yang dikatakan tidak berpuas hati dengan ucapan Khairy ketika merasmikan mesyuarat Pemuda Umno Jerlun yang antara lain menyebut kaum Cina akan mengambil kesempatan daripada kelemahan Umno.

Antara pemimpin yang memberi reaksi itu ialah Ketua Pemuda MCA Datuk Liow Tiong Lai, Naib Presiden MCA Datuk Dr Chua Soi Lek, Setiausaha Agung MCA Dr Wee Ka Siong dan Naib Setiausaha Parti Gerakan Datuk Lee Kah Choon.

Bagaimanapun, kata Khairy, beliau belum tahu isi kandungan laporan lengkap akhbar-akhbar terbabit.

"Saya cuma dimaklumkan pagi ini. Mesej saya jelas, kekuatan BN datang dari kekuatan Umno. Saya harap para pemimpin lain faham. Parti komponen perlu kepada Umno yang kuat. Saya dapat permintaan dari Datuk Ling (Hee Leong) dan akan jumpa beliau dalam masa terdekat," katanya.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In