Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Ebit Lew sediakan rumah sewa buat keluarga India tinggal dalam kereta
Diterbitkan:  Dec 25, 2020 4:37 PM
Dikemaskini: 8:44 AM

Pendakwah yang juga usahawan terkenal negara, Ebit Lew membiayai sewa rumah kepada pasangan India yang tinggal di dalam kereta bersama tiga anaknya di Pulau Pinang, selepas kediamannya terbakar April lalu.

Menurut Ebit yang turut dikenali sebagai Ustaz Ebit, S Ganesh bekerja sebagai pengawal keselamatan dan keluarganya terpaksa menumpang mandi di tandas awam.

Jelasnya, amat menyedihkan apabila empat beranak berkenaan terpaksa tidur di dalam kereta dan terpaksa mencatu makanan.

"Sedihnya rasa, saya tidur lena makan sedap, ada orang sampai tinggal dekat bonet kereta. Berpantang baru lepas bersalin hanya dalam kereta.

"Saya sewakan rumah cantik selesa ada tiga bilik. Saya akan bayar sewa rumah untuk sebulan sementara mereka dapat rumah PPRT. Dah dua kali mohon semenjak rumah terbakar.

"Tapi jika mereka terus ingin terus di situ pun saya akan terus bayarkan dengan gembira," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Kisah Ganesh mendapat perhatian media tempatan yang menyiarkan kesengsaraan dihadapi keluarga itu selepas rumahnya terbakar.

Selepas insiden itu, Ganesh tiada pilihan lain selain daripada membawa isteri dan tiga orang anaknya termasuk bayi berusia lapan bulan tinggal dalam kereta.

Selama lapan bulan, Ganesh menjadikan kereta sebagai tempat berlindung dari panas dan hujan.

Sementara itu, Ebit berkata dia turut hadiahkan kepada keluarga itu peralatan rumah seperti peti ais, mesin basuh, televisyen, periuk dan sebagainya.

"Baik sangat pasangan ini. Tak berhenti Ganesh dan isteri cakap terima kasih. 

"Mereka menangis terharu. Katanya kenapa banyak sangat ustaz. 

"Mereka suka sangat tengok rumah baru. Cantik dan selesa.

"Gembira dapat tengok senyuman anak-anak comel. Doakan perjalanan nak balik KL (Kuala Lumpur)," katanya.

Lihat Komen
ADS