1,196 kes baru, satu lagi kematian
Sebanyak 1,196 kes baru Covid-19 dan satu lagi kematian direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu dengan Selangor terus merekodkan jumlah kes harian baru tertinggi.
Selangor merekodkan sebanyak 392 kes baru, diikuti Kuala Lumpur sebanyak 202 kes dan Johor sebanyak 194 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 kini adalah sebanyak 105,096 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 20,233.
Sementara itu, sebanyak 997 pesakit sembuh sepenuhnya.
Sebanyak 52 kes (4.3 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap dan penjara yang membabitkan kluster Pagar Siput (15 kes), kluster Tembok Gajah (14 kes), kluster Penjara Jalan Harapan (13 kes), kluster Tembok (8 kes), kluster Hala Mutiara (1 kes) dan kluster Penjara Sandakan (1 kes).
Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat 111 kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 50 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Mengenai kematian terbaru, Dr Noor Hisham berkata ia melibatkan seorang lelaki warga emas berusia 71 di Sabah, menjadikan jumlah kematian akibat wabak berkenaan kini adalah 452.
Sementara, Dr Noor Hisham memaklumkan satu lagi kluster baru dikesan iaitu kluster Jalan Sedco di daerah Tawau dan Kalabakan di Sabah.
Jumlah kluster yang tamat pula adalah sebanyak 271 kluster termasuk tiga kluster yang tamat pada hari ini iaitu kluster Kerengge, kluster Alila, dan kluster Gemilang.
Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 213 kluster.
"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 45 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini.
"Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baru tertinggi adalah kluster Tampoi Jaya (78 kes), kluster Tapak Bina Jalan Stadium (63 kes), dan kluster Beringin (30 kes)," katanya.


