Tiga lokasi di Johor, N Sembilan dikenakan PKPD
Kerajaan hari ini mengumumkan tiga lokasi di Johor dan Negeri Sembilan dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) berikutan peningkatan kes Covid-19.
Ia melibatkan sebuah penjara, sebuah pusat koreksional dan sebuah dewan untuk menempatkan tahanan dari lokap ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi yang positif Covid-19.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD dikenakan di Dewan Arena Segitiga, Lot 19094, Taman Desa Sejahtera, Mukim Kota Tinggi, Johor bermula 28 Dis hingga 10 Jan 2021.
Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan peningkatan jangkitan Covid-19 dalam kalangan tahanan di lokap IPD Kota Tinggi, iaitu seramai 125 kes disahkan positif daripada 171 tahanan yang disaring.
“Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Dewan Arena Segitiga untuk menempatkan kesemua tahanan yang positif Covid-19 dari lokap IPD Kota Tinggi,” katanya.
Satu lagi lokasi di Johor yang dikenakan PKPD ialah Pusat Koreksional Johor Bahru dan kuarters kakitangan, di Batu 19 Jalan Ulu Choh-Pontian, Johor Bahru, bermula 28 Dis hingga 10 Jan 2021.
Kata Ismail, ini selepas 685 orang tahanan dan kakitangan terdedah dengan 8 kes positif yang direkodkan di situ, antara 16 sehingga 23 Dis lalu ketika mereka hadir bicara di mahkamah daerah lain.
Tambahnya, PKPD itu akan melibatkan 937 tahanan, 322 anggota dan 128 ahli keluarga yang tinggal di kuarters meliputi 102 unit rumah.
Untuk PKPD di Negeri Sembilan pula, Ismail memberitahu ia akan dikenakan di Penjara Jelebu dan kuarters kakitangannya dari 28 Dis hingga 10 Jan 2021, ekoran peningkatan kes di situ.
Katanya, setakat 22 Dis, seramai 307 kes positif direkodkan daripada 1086 yang disaring, iaitu 305 kes dalam kalangan tahanan dan 2 kes membabitkan wadar.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua tahanan, kakitangan dan kontak rapat yang terlibat untuk memastikan tiada jangkitan dalam kalangan komuniti,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ismail berkata PKPD di Flat Persiaran Paya Terubong Flat di Relau, Pulau Pinang, ditamatkan hari ini.
Kawasan itu dikenakan PKPD dari 7 Dis dan sepatutnya tamat pada 31 Dis, namun ditamatkan lebih awal daripada yang dijadualkan.
Sepanjang tempoh PKPD, daripada 5,585 saringan yang dilakukan, 113 penduduk kawasan itu didapati positif.

