Hishamuddin: Khairy mesti beri penjelasan
Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata, Naib-Ketuanya, Khairy Jamaluddin mesti memberi penjelasan kepada pemimpin parti komponen Barisan Nasional berhubung ucapan kontroversi di Jerlun, Kedah Jumaat lalu bagi menghilangkan sebarang salah tafsir terhadap ucapannya itu.
Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata, Naib-Ketuanya, Khairy Jamaluddin mesti memberi penjelasan kepada pemimpin parti komponen Barisan Nasional berhubung ucapan kontroversi di Jerlun, Kedah Jumaat lalu bagi menghilangkan sebarang salah tafsir terhadap ucapannya itu.
"Sebagai pemimpin muda yang bertanggungjawab, Khairy mesti memberikan penjelasan. Khairy akan beri penjelasan kalau pihak yang dikatakan sensitif dan tersinggung memerlukan penjelasan," katanya di lobi Parlimen di sini Isnin.
Hishammuddin berkata Khairy telah mengaturkan pertemuan dengan pemimpin Pemuda BN untuk memberi penjelasan mengenai maksud ucapan beliau.
"Ini satu proses pembelajaran untuk Khairy. Ia sesuatu yang menimbulkan kebimbangan kepada kawan-kawan kita dan dia (Khairy) bersetuju menjustifikasikan kepada mereka. Bagi saya, ia memadai," katanya.
Hishammuddin mengulas laporan akhbar berbahasa Cina yang memuatkan reaksi beberapa pemimpin parti komponen BN yang dikatakan tidak berpuas hati dengan ucapan Khairy yang didakwa menyebut bahawa kaum Cina akan mengambil kesempatan daripada kelemahan Umno.
Antara pemimpin yang memberi reaksi itu ialah Ketua Pemuda MCA Datuk Liow Tiong Lai, Naib Presiden MCA Datuk Dr Chua Soi Lek, Setiausaha Agung MCA Dr Wee Ka Siong dan Naib Setiausaha Gerakan Datuk Lee Kah Choon.
Menurut Ketua Pemuda Umno yang juga Menteri Pelajaran itu, perkara itu akan dibincang dan diselesaikan di peringkat Pemuda BN apabila Khairy mengadakan perjumpaan dengan semua pemimpin komponen parti itu tidak lama lagi.
"Dari masa ke masa ada isu yang timbul dan kita terpaksa tangani bersama. Wujud satu saluran iaitu melalui BN untuk kita selesaikannya. Tidak ada perkara yang sensitif yang tidak boleh kita bincang bersama," katanya.
Hishamuddin percaya isu itu akan dapat diselesaikan selepas Khairy memberi penjelasan kepada pemimpin Pemuda BN tidak lama lagi.
Berhubung pelbagai perkara yang menyentuh isu kaum dan agama yang dibangkitkan sejak kebelakangan ini, Hishammuddin berkata terdapat perkara yang dibangkitkan itu disalahtafsir dan digembar-gemburkan sehingga menimbulkan suasana tidak sedap hati pihak tertentu.

