Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sarawak, Perlis negeri contoh berjaya bendung Covid-19
Diterbitkan:  Dec 28, 2020 9:47 PM
Dikemaskini: 1:47 PM

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memuji kerajaan Sarawak dan Perlis kerana berjaya membendung penyebaran Covid-19 di negeri-negeri itu.

Ibu negeri Sarawak, Kuching pernah dikategorikan sebagai zon merah, namun kadar kebolehjangkitan (R0 atau R-naught) di negeri ini berjaya diturunkan serendah 0.4.

Semua perjalanan ke negeri Sarawak sempena cuti Krismas dan hujung tahun juga diwajibkan menjalani kuarantin selama 10 hari di pusat-pusat kuarantin yang ditetapkan dan juga mengambil ujian Covid-19.

Setakat jam 12 tengah hari ini, Sarawak mencatatkan hanya enam kes aktif. 

Hampir semua daerah kecuali empat daerah - Kuching, Bintulu, Lawas dan Sibu -merupakan zon hijau dengan jangkitan sifar.

"Kalau mereka melindungi negeri mereka - ini satu kaedah yang terbaik yang kita rasa dalam komuniti jangkitan tak berlaku. Negeri Perlis juga sebuah negeri contoh," kata Dr Noor Hisham.

Perlis tidak mencatatkan sebarang jangkitan baru hari ini dan hanya merekodkan 46 kes Covid-19 terkumpul sejak wabak itu melanda negara.

Kerajaan negeri Perlis mewajibkan ujian saringan Covid-19 untuk mereka yang memasuki negeri itu.

Dr Noor Hisham juga memuji kerajaan Terengganu kerana memberikan ujian Covid-19 percuma bagi mereka yang melakukan perjalanan ke negeri ini dari zon merah.

Negeri pantai timur itu merekodkan 13 kes aktif setakat hari ini. Semua daerah merupakan zon hijau tanpa sebarang jangkitan kecuali Kuala Terengganu, Dungun dan Hulu Terengganu.

Sementara itu, Dr Noor Hisham juga mengalu-alukan keputusan kerajaan negeri Kelantan mengeluarkan gelang berwarna kepada pelancong yang memasuki negeri ini dari zon merah.

Kelantan merekodkan 138 kes aktif, 28 daripadanya direkodkan hari ini. Sebilangan besar (115) kes aktif adalah di Kota Bharu yang merupakan zon merah.

Lihat Komen
ADS