Malaysiakini
BERITA

Panduan dari doktor untuk pesakit Covid-19 kuarantin di rumah

Diterbitkan
Dikemaskini 31 Dis 2020, 4:35 pagi

Membenarkan pesakit Covid-19 tanpa gejala terus tinggal di rumah masing-masing sudah lama dilakukan di beberapa negara luar, tetapi ia agak asing di negara ini.

Bagaimanapun dengan peningkatan berterusan kes baru setiap hari, pilihan yang ada pada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjadi semakin terhad.

Sebelum ini semua pesakit Covid-19 - sekali pun hanya menunjukkan simptom kecil - memang dibawa KKM ke hospital atau pusat kuarantin.

Pada April lalu Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan amalan segera mengasingkan pesakit Covid-19 berkesan membantu mengekang penularan wabak tersebut.

Namun amalan berkenaan tidak lagi diamalkan.

Setakat semalam 22,562 orang masih dirawat kerana Covid-19 di seluruh negara. Pertambahan kes baru berjumlah ribuan orang menyebabkan katil untuk pesakit Covid-19 atau ambulans untuk membawa mereka ke pusat pengasingan tidak lagi mencukupi.

Minggu lalu Noor Hisham menasihatkan pesakit Covid-19 asimptomatik agar mengkuarantin diri sendiri di rumah sehingga ada katil kosong untuk mereka di hospital.

Perubahan pendekatan - bukan disebabkan pertukaran dasar yang disengajakan sebaliknya akibat terpaksa ekoran sistem penjagaan kesihatan awam yang kini terhad - menimbulkan kekeliruan.

Dr Musa Mohd Nordin

Sebilangan orang yang positif Covid-19 tidak tahu apa yang harus mereka lakukan sementara menunggu berhari-hari lamanya sebelum dijemput KKM.

Pakar perunding pediatrik Hospital Pakar KPJ Damansara, Dr Musa Mohd Nordin, menyarankan beberapa tindakan sementara yang boleh dilakukan pesakit Covid-19 sementara mereka menunggu di rumah.

Berikut adalah garis panduan yang dicadangkan:

1. Jika anda positif tetapi asimptomatik, terus berada di rumah dan lakukan pengasingan kendiri sebaik saja keputusan ujian diterima

2. Semua isi rumah juga perlu melakukan pengasingan

3. Pejabat kesihatan daerah akan menghubungi anda pada waktu yang sepatutnya

3. Anda hanya boleh meninggalkan rumah dalam keadaan tertentu

4. Jangan pergi ke tempat kerja, sekolah atau kawasan awam

5. Jangan gunakan pengangkutan awam atau teksi

6. Jika perlu keluar rumah, anda mesti memakai pelitup muka dan amalkan penjarakan fizikal sebelum kembali serta-merta selepas selesai berurusan

7. Di Selangor Pasukan Khas Covid-19 Selangor (STC) akan memaklumkan keputusan anda melalui aplikasi SeLangkah dalam tempoh 24 jam selepas ujian dijalankan. Justeru anda tidak perlu keluar dari rumah untuk mendapatkan keputusan tersebut.

8. Jauhkan diri sebaik mungkin daripada orang lain dalam rumah, terutama jika mereka adalah golongan berisiko tinggi

9. Di mana boleh, elakkan daripada menggunakan ruang bersama seperti dapur atau seumpamanya ketika ada orang lain dan bawa makanan anda ke bilik untuk dimakan.

10. Pakai pelindung muka atau pelitup muka pembedahan semasa meluangkan masa di kawasan bersama dalam rumah anda

11. Lakukan kegiatan beriadah di dalam atau kawasan halaman rumah saja

12. Patuhi nasihat umum bagi mengurangkan penularan jangkitan dalam kalangan penghuni rumah

13. Tempoh pengasingan anda termasuk hari anda melakukan ujian dan 10 hari berikutnya

14. Maksudnya jika ujian pertama dilakukan 15 hari bulan, tempoh pengasingan anda berakhir pada jam 11.59 malam 25 hari bulan.

15. Tempoh pengasingan rasmi 10 hari bermula pada hari keputusan ujian menunjukkan anda positif

16. Kebanyakan pesakit Covid-1 mengalami rasa tidak sihat yang ringan. Dapatkan segera rawatan sekiranya keadaan anda atau penghuni rumah anda semakin buruk

17. Anda boleh kembali menjalani kehidupan biasa dan menamatkan pengasingan 10 hari penuh jika anda kekal dalam keadaan sihat, atau simptom anda cuma batuk ringan atau kehilangan deria baru yang mungkin memerlukan masa beberapa minggu untuk pulih.

[Baca berita asal]

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.