Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hapuskan judi: Banteras rumah judi berlesen mudah dilakukan - PAS
Diterbitkan:  Jan 2, 2021 2:31 PM
Dikemaskini: 9:10 AM

PAS berkata parti itu menyasarkan untuk mengharamkan sepenuhnya industri judi di negara ini menjelang 2025.

Ahli Jawatankuasa Pusat PAS Dr Mohd Zuhdi Marsuki berkata hal itu terkandung dalam perancangan parti itu melalui Wawasan Induk Negara Sejahtera (Wins) yang dikemukakan mereka sebelum PRU ke-14 lalu.

Fasa pertama Wins katanya bermula dari 2018 hingga 2020.

Kata Mohd Zuhdi pengharaman sepenuhnnya industri judi di negara ini memerlukan tempoh tertentu kerana ia bukan saja membabitkan operator berlesen malah kegiatan tanpa lesen dan akitiviti dalam talian.

Untuk sektor berlesan, kata setiausaha politik menteri alam sekitar dan air itu lagi, ia lebih "mudah" diharamkan berbanding yang lain.

"Kegiatan judi berlesen sama ada rumah judi terbuka seperti kasino Genting Highlands atau judi ramalan nombor seperti Sports Toto, Magnum dan Da Ma Cai (ia) mudah dibanteras dengan kehendak politik pemerintah, manakala judi tidak berlesen dan judi dalam talian berbeza," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Isu judi kembali menarik perhatian ramai selepas seorang senator dari DAP, Liew Chin Tong, mendakwa kerajaan membenarkan kekerapan cabutan khas nombor ekor ditingkatkan kepada 22 kali pada tahun ini berbanding lapan kali pada 2020.

Setakat ini Putrajaya belum memberikan penafian atau pengesahan terhadap dakwaan Liew yang dibuatnya pada 28 Dis lalu.

Pagi tadi Pemuda PAS menyatakan bantahan mereka terhadap cadangan berkenaan dan mengajak semua parti dalam Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional menyertai mereka menghapuskan judi di negara ini.

Mohd Zuhdi berkata pasukan penggubal Wins bercadang mengemukakan cadangan penuh mereka untuk membersihkan kegiatan judi di negara ini kepada kerajaan.

"Sebelum dikemukakan kepada pihak kerajaan, kertas cadangan tersebut akan dikemukakan kepada semua pihak sama ada pertubuhan bukan kerajaan atau parti politik untuk diperkukuhkan dan ditambah baik," katanya yang juga panel penggubal Wins.

Lihat Komen
ADS