Dr M: Pemimpin mesti ada wawasan dan perihatin
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata seorang pemimpin mesti tahu apa yang dikehendaki oleh pengikutnya dan pada masa yang sama perlu mempunyai agenda sendiri.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata seorang pemimpin mesti tahu apa yang dikehendaki oleh pengikutnya dan pada masa yang sama perlu mempunyai agenda sendiri.
Tegasnya, seorang pemimpin yang baik dan berkesan tidak akan mengenepikan kehendak dan kebajikan pengikut di samping sentiasa bersikap innovatif.
" Bukan semua orang dilahirkan dengan bakat memimpin. Ada orang dilahirkan untuk jadi pemimpin, ada yang belajar jadi pemimpin. Bagaimanapun ada juga pemimpin yang hanya mendengar kata-kata pengikutnya," katanya di Persidangan dan Pameran Latihan dan Pembangunan Antarabangsa ke-35 di Kuala Lumpur pagi tadi.
Dr Mahathir yang menjawab soalan seorang peserta konvensyen itu berkata; "Seorang pemimpin mesti ada wawasan sendiri dan perlu tahu apa kehendak pengikutnya."
" Jika seseorang pemimpin itu tidak tahu apa yang hendak dibuat dan terus menerus bertanya pada pengikutnya 'apa yang patut dibuat' dan ' apa yang awak nak saya buat', maka anda bukanlah seorang pemimpin."
" Jika begitu senarionya, yang menjadi pemimpin ialah pengikut anda," katanya sambil disambut dengan tepukan dan ketawa para hadirin yang kira-kira 1,000 orang.
"Perbezaan antara pemimpin dengan pengikutnya amat kecil. Seorang pemimpin mesti aktif dan berupaya menilai sesuatu untuk kekal memimpin. Jika anda tidak boleh melakukannya, biar orang lain jadi pemimpin," tambahnya.
Di dalam ucapannya sebelum sesi soal jawab itu, Dr Mahathir turut menyentuh soal kewajaran sistem pendidikan British dikekalkan di negara ini.
Menurutnya, sistem British hanya menumpu pada penguasaan ilmu dan mengepikan aspek 'mengaplikasikan ilmu pengetahuan'.
Katanya, ini berbeza dengan sistem pendidikan German dan Jepun yang mementingkan kedua-dua aspek itu pada satu masa.
" German berjaya menghasilkan kereta lebih baik dari kereta yang dikeluarkan di UK (United Kingdom) kerana sistem pendidikan German lebih berkesan," ujarnya.
Dr Mahathir juga memuji kebangkitan Jepun hingga menjadi sebuah ekonomi yang paling kompetitif walaupun negara tersebut telah dimusnahkan dalam Perang Dunia Kedua.
Beliau juga menempelak beberapa 'cerdik pandai' lulusan Oxford, Cambridge, Harvard dan pelbagai institusi pengajian tinggi lain yang tidak pandai mengaplikasikan ilmu pengetahuan mereka bagi membangunkan negara.
"Anda tahu apa yang berlaku apabila terdapat banyak orang yang pandai? Mereka akan menghabiskan masa bertengkar dan berbeza pendapat. Akhirnya mereka tidak menghasilkan apa-apa. Semua cakap kosong sahaja," katanya.
"Kita perlukan orang yang boleh berkerja...mereka mesti mempunyai ilmu pengetahuan dan tahu mempraktikkannya," tambah beliau.
Ketika ditanya oleh malaysiakini selepas selesai majlis tersebut samaada beliau merujuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan menantunya, Khairy Jamaluddin di dalam ucapannya itu, Dr Mahathir menjawab sambil tersenyum;" Saya tidak tahu, saya tidak tahu, saya tidak tahu...."
Konvensyen dan pameran tersebut dirasmikan oleh Abdullah pada sebelah petangnya. Berita asal

