Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno Kelantan ingatkan PAS: Jangan kahwin dua
Diterbitkan:  Jan 4, 2021 1:53 PM
Dikemaskini: 5:53 AM

Pengerusi Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakob menegaskan PAS perlu membuat keputusan sama ada mahu bersama Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN) sekiranya Umno memutuskan hubungan dengan Bersatu.

Mengumpamakan PAS sebagai perempuan, katanya, parti itu tidak boleh 'berkahwin dua' dalam satu masa.

"Kita mengkaji (hubungan dengan PAS), kita tidak memutuskan. Apabila kita memutuskan hubungan dengan Bersatu, maka PAS mesti membuat pilihan.

“Umno atau Bersatu, kalau kita putuskan hubungan dengan Bersatu tetapi mereka nak bersama dengan kita dalam masa sama nak bersama dengan Bersatu mana boleh. Tak boleh.

“Orang perempuan tak boleh kahwin dua, lelaki saja boleh kahwin dua," katanya pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat tahunan Umno bahagian Machang, Kelantan, semalam.

Dia yang juga anggota parlimen Machang berkata demikian ketika ditanya berhubung kerjasama parti itu dengan PAS yang kini masih bergabung dalam MN.

Terdahulu Ahmad Jazlan juga menjelaskan 12 bahagian di Kelantan meluluskan usul supaya Umno mengkaji semula kerjasama dengan PAS.

Justeru katanya, PAS perlu membuat keputusan susulan pendirian terbaru Umno kelak.

"Kalau PAS nak bersama dengan kita biar jelas nak bersama dengan kita. Kalau nak bersama Bersatu maka terpaksa meninggalkan kita.

"Apakan daya kalau bersahabat dan berkawan, apabila saat susah begini kawan nak tinggalkan kita, kita tahu Umno bukan ada perdana menteri, menteri-menteri portfolio penting kita tahu kita tak boleh bagi jawatan kepada sesiapa.

"Kalau itu pilihan mereka kita reda dan terimalah. Kalau terpaksa berhadapan kita berhadapanlah," jelasnya.

Lihat Komen
ADS