Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan jasa seseorang pemimpin tidak boleh dijadikan alasan untuk berkompromi dengan rasuah atau membiarkan penyelewengan harta rakyat dan negara.

“Jasa ratusan tahun sekalipun tidak boleh menjadi alasan untuk kita membiarkan sesiapa menyakau dan merompak harta rakyat dan negara.

“Sikap berkompromi dengan rasuah atas nama jasa ini jauh daripada ajaran Islam,” katanya pada hantaran di media sosial.

Anwar turut menyeru mereka yang menentang rasuah supaya lebih lantang menyuarakan pendirian dan menuntut pelakunya berdepan hukuman penjara.

“Kita yang benci dan menentang rasuah perlu bersuara lebih lantang, sampaikan mesej jelas bahawa pelaku rasuah tempatnya di penjara,” katanya.

Hantaran itu turut memuatkan petikan ucapannya pada Forum Ilmuwan Madani Siri 14 yang berlangsung pada 6 Nov lalu.

Dalam ucapan tersebut, Anwar mengingatkan mengenai budaya permissiveness atau sikap membiarkan perbuatan salah, yang menurutnya pernah dibangkitkan tokoh Indonesia, Muhammad Natsir.

Dia mengkritik sikap menganggap perbuatan mencuri sebagai perkara kecil walaupun membabitkan jumlah berbilion ringgit.

"Semua okey. Rosak sikit, okey. Curi sikit, okey. Sikit berapa? Bilion, okey.

“Jadi, this tolerance for evil ini yang merosakkan kita,” katanya.

Kenyataan Anwar ini ketika bekas perdana menteri Najib Razak yang disabitkan bersalah atas kesalahan rasuah mula menjalani baki hukuman penjaranya di rumah.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Najib menjalani tahanan rumah di kediamannya di Taman Duta sehingga 23 Ogos 2028.

Hakim Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas membatalkan perintah pelepasan atas pembayaran denda bertarikh 6 Nov dan menggantikannya dengan perintah selaras pengampunan bersyarat yang diperkenankan pada 18 Sept lalu.

Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta pada 28 Julai 2020 selepas disabitkan atas tujuh pertuduhan menyalahgunakan kedudukan, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana SRC International.

Hukuman penjaranya kemudian dikurangkan kepada enam tahun dan denda kepada RM50 juta menerusi keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 29 Jan 2024, yang diumumkan pada 2 Feb tahun sama.

Pun begitu, Najib dijadualkan kembali ke Penjara Kajang pada 24 Ogos 2028 bagi menjalani hukuman penjara berasingan dalam kes rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan dana kira-kira RM2.3 bilion jika rayuannya di mahkamah tidak berpihak kepadanya.

Bekas presiden Umno itu sedang merayu sabitan dan hukuman kes 1MDB itu di Mahkamah Rayuan.

Pada 26 Dis 2025, Mahkamah Tinggi mensabitkannya atas 25 pertuduhan — empat salah guna kuasa dan 21 pengubahan wang haram — serta menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion.