Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib Razak untuk menangguh perbicaraan kes rasuahnya yang membabitkan dana 1MDB bernilai RM2.28 bilion yang dijadualkan esok supaya dia dapat mengunjungi mangsa banjir di Pahang.

Pada awal prosiding hari ini, peguam bela utamanya, Muhammad Shafee Abdullah mengemukakan permohonan untuk menangguhkan perbicaraan esok.

"Ada banjir di pantai timur, Pahang. Dia adalah ahli parlimen di negeri itu.

“(Banjir) itu adalah yang terburuk dan paras air kian meningkat. Seperti dilaporkan oleh berita, ia telah sampai ke tahap yang sangat serius.

"Jika dia tidak pergi, ini akan menjadi gambaran buruk terhadapnya, dan juga akan memberi kesan kerana orang ramai akan kata dia tidak menjalankan tugasnya sebagai anggota parlimen (Pekan), untuk membantu meringankan penderitaan rakyat," kata Shafee.

Menurut peguam itu, Najib akan hadir di mahkamah pada Khamis, jika perbicaraan esok dibatalkan.

Bagaimanapun, hakim Collin Lawrence Sequerah menolak permohonan penangguhan itu.

"Ini adalah tahun baru. (Perbicaraan 1MDB) ini harus diteruskan, jadi permohonan oleh anak guam kamu ditolak, kes harus diteruskan (esok),” kata hakim kepada Najib yang duduk di kandang tertuduh.

Selepas mpenolakan permohonan itu, saksi pendakwaan ke-10 yang juga adalah bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman tampil memberi keterangan.

Dia akan disoal oleh pasukan peguam Najib.

Najib dibicarakan atas empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB sebanyak RM2.28 bilion.

Selain sebagai bekas perdana menteri, dia juga adalah menteri kewangan dan ketua lembaga penasihat 1MDB pada masa itu.

1MDB dimiliki sepenuhnya oleh menteri kewangan diperbadankan (MoF Inc).