Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PN lantik 14 pengerusi badan perhubungan negeri
Diterbitkan:  Jan 5, 2021 1:24 PM
Dikemaskini: 5:55 AM

Seramai 14 Pengerusi Badan Perhubungan Negeri (BPN) Perikatan Nasional (PN) hari ini dilantik, termasuklah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi BPN Johor.

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin dalam kenyataan di Facebook miliknya berkata, kesemua lantikan dibuat oleh Pengerusi PN itu selepas bermesyuarat bersama Majlis Tertinggi PN.

“Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar pula dipilih mengetuai BPN Terengganu, manakala Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob dilantik sebagai Pengerusi BPN Kelantan.

“Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali sebagai Pengerusi BPN Selangor dan Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu sebagai Pengerusi BPN Perak,” katanya.

Mengikut senarai berkenaan, 10 pemimpin adalah dari Bersatu, manakala empat lagi mewakili PAS.

PN adalah gabungan antara Bersatu, PAS, Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (Star) dan Parti Progresif Sabah (Sapp).

Hamzah juga berkata, mereka yang lain adalah; Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor (Pengerusi BPN Kedah), Ketua Menteri Sabah Hajiji Mohd Noor (Sabah), Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Saifuddin Abdullah (Pahang) dan Pengerusi Parti Bersatu Negeri Sembilan Eddin Syazlee Shith (Negeri Sembilan).

Selain itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Shabudin Yahaya (Pulau Pinang), Pesuruhjaya PAS Perlis Mohd Shukri Ramli (Perlis), Exco Melaka Mohd Rafiq Naizamohideen (Melaka), Pengerusi Bersatu Sarawak Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian (Sarawak) dan Setiausaha Kerja Bersatu Muhammad Suhaimi Yahya (Wilayah Persekutuan).


Lihat Komen
ADS