Penduduk Kelantan digesa jadikan pelitup muka pakaian asas harian
Penduduk di Kelantan digesa menjadikan pemakaian pelitup muka serta penggunaan cecair pensanitasi tangan sebagai “pakaian asas harian” bagi membendung penularan Covid-19 yang semakin meningkat di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin berkata Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan sudah melaksanakan sebaik-baik langkah untuk mengawal penularan jangkitan dan tanggungjawab seterusnya terletak pada masyarakat, termasuk memastikan penjarakan fizikal.
"Nasihat saya ialah patuhi SOP. Kalau kita boleh memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) pada diri sendiri, saya pohon kepada rakyat supaya bekerjasama sungguh-sungguh dan mematuhinya sedaya upaya yang boleh.
"Paling penting, keluar bila perlu sahaja, dengan kata lain musuh berada di luar... apabila Covid-19 sudah berada dalam masyarakat, SOP adalah satu-satunya yang kita kena pertingkatkan selain imuniti diri iaitu biar tubuh gagah untuk melawan kuman Covid-19," katanya kepada pemberita di Kota Bharu, hari ini.
Katanya beliau yakin kes di Kelantan dapat menurun dalam tempoh sebulan jika masyarakat mematuhi SOP.
Setakat semalam, sebanyak 42 kes baharu dilaporkan di Kelantan menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di negeri itu sebanyak 976 kes.
-Bernama

