Buat pertama kalinya semalam sayap Pemuda semua parti politik negara ini berdiri di atas satu pentas dan bersatu suara memperjuangkan agenda bersama - mengecam kezaliman Israel di Lebanon dan Palestin.

Pemuda Umno, MCA, MIC, Gerakan, DAP, PAS dan Parti Keadilan Nasional (PKR) turut menandatangani memorandam bersama lima perkara yang menegaskan pendirian Malaysia terhadap kekejaman regim Zionis itu.

Anggota Pemuda itu mengecam serangan Israel di Lebanon dan penahanan para pemimpin Hamas di Palestin serta menggesa gencatan senjata dikekalkan di negara bergolak itu.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) juga didesak menghantar segera pasukan pengaman ke Lebanon dan menubuhkan tribunal khas untuk membicarakan para pemimpin Israel atas kesalahan "jenayah kemanusiaan".

Dalam majlis yang dinamakan Perhimpunan Gabungan Pemuda Malaysia di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) malam tadi itu pemuda pelbagai parti berhimpun dengan penuh semangat sambil mengibarkan bendera, melaung-laungkan slogan parti masing-masing dan menyokong ucapan para pemimpin mereka.

Dalam majlis itu, Pemuda Umno diketuai oleh Datuk Seri Hishamuddin Hussein Onn, MCA oleh Liow Tiong Lay, Gerakan oleh Mah Siew Keong, S Ramesh mewakili MIC dan Salahuddin Ayub dari PAS. DAP pula dikepalai oleh Nga Kor Ming dan Shamsul Iskandar Mohd mewakili PKR.

Kontingen terbesar ialah dari Umno, PAS serta PKR dan ini menjadikan majlis itu gamat dengan jeritan 'Allahuakbar' 'Reformasi' dan 'Hidup Umno'.

Sebanyak lapan ucapan disampaikan oleh semua wakil anggota gabungan berkenaan selain di selang seli dengan bacaan sajak dan persembahan teater.

Perhimpunan tersebut dikatakan sebagai susulan kepada perhimpunan anti-Israeal yang pernah dihadiri oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Presiden PAS, allahyarham Fadzil Noor pada tahun 2002.

Bangsa bangsat

Dalam ucapannya, Salahuddin yang menyifatkan Israel sebagai " bangsa bangsat " mahu tekanan berterusan dikenakan ke atas rejim Zinois itu sehingga ia disingkirkan dari tanah Arab.

Ketua Pemuda PAS itu yang mendakwa Israel secara berterusan melanggar konvensyen Geneva turut menawarkan ahli-ahli PAS untuk berjihad di Lebanon dan Palestin.

Beliau mencabar ahli-ahli PAS membeli tiket sehala ke Beirut untuk membantu proses pembangunan semula Lebanon dan menentang Israel.

Bagaimanapun, gesaan Salahuddin itu disambut dengan ejekan dari anggota parti lain yang melaungkan " Jangan balik PAS, Umno ada return tiket ."

Ketua Pemuda Umno, Hishamuddin pula melabel keganasan Israel sebagai tindakan hina dan biadab.

Beliau menyeru anggota Pemuda semua parti meningkatkan kecaman terhadap Israel hingga menjadi seperti 'ombak tsunami' yang akan mempengarui pendapat dunia.

Beliau membidas Amerika Syarikat (AS) sebagai 'cakap tak serupa bikin' dan 'bikin tak serupa cakap'.

Wakil PKR, Shamsul pula dalam ucapannya membidas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana terlewat menyuarakan reaksi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang kini dipengerusikan oleh Malaysia.

Ketua Pemuda MCA, Liow pula menegaskan, konflik di Asia Barat itu bukannya soal keagamaan tetapi isu kemanusiaan.

Para pemimpin lain turut mengecam Israel dan kegagalan Majlis Keselamatan PBB menyelesaikan segera konflik tersebut.

Dalam sidang media selepas majlis tersebut, Hishamuddin yakin lebih banyak kerjasama seperti itu dapat diadakan selepas ini. Berita asal