Pekan Rantau Panjang ditenggelami air lagi hari ini. Banjir yang bermula sejak petang semalam itu adalah yang ketiga berlaku selepas kali pertama pada Nov diikuti kali kedua pada Dis.
Dalam kejadian terbaru, sekali lagi kegiatan harian penduduk di kawasan sempadan Malaysia-Thailand itu lumpuh terpaksa.
Tinjauan Malaysiakini hari ini mendapati banjir gelombang ketiga yang sedang melanda turut menenggelamkan tiga laluan utama ke kawasan bebas cukai terbabit.
Antara premis yang dinaiki air di kawasan itu melibatkan Balai Polis Rantau Panjang dan Klinik Kesihatan Rantau Panjang selain premis-premis perniagaan.
Sebanyak 10 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka sejak semalam dan kini menempatkan 691 mangsa daripada 5, 525 penduduk yang diarah berpindah di seluruh Kelantan.
Ketua Balai Bomba Rantau Panjang, Imran Ismail, berkata tiada operasi perniagaan dijalankan di kawasan terbabit malah kebanyakan penduduk sekitar mengambil tindakan berpindah ke tempat selamat atau PPS yang berdekatan.
"Mengikut laporan infobanjir.water.gov.my setakat jam 9 pagi ini paras air Sungai Golok mencatat bacaan 10.65 meter dan melebihi paras bahaya iaitu 9 meter.

"Selain itu, paras air juga menunjukkan trend menaik selain kawasan hulu sungai di Kampung Jenob, Tanah Merah, turut mencatat bacaan melebihi paras amaran iaitu 23.42 meter.
"Jika sungai terbabit menunjukkan bacaan menurun ia turut memberi kesan kepada bacaan di Sungai Golok di sini," katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Imran menambah ketiga-tiga laluan utama ke pekan Rantau Panjang dinaiki banjir separas 0.5 sehingga 0.8 meter.

Keadaan itu katanya menyebabkan pihak berkuasa perlu menutup jalan terbabit daripada digunakan orang awam.
Imran berkata, kebiasaannya selepas air surut pekan Rantau Panjang perlu mengambil masa sehingga seminggu sebelum boleh kembali kepada keadaan asal.
"Pihak kami bersedia daripada segi fizikal dan mental dalam menghadapi musim tengkujuh dengan norma baharu memandangkan negara kini turut berhadapan dengan pendemik Covid-19.
"Selain menasihati setiap anggota bertugas, saya juga menyeru semua masyarakat agar mematuhi prosedur operasi standard jika banjir melanda.
"Paras air boleh meningkat jika taburan hujan terus bertambah, jadi penduduk setempat perlu mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini berlaku," katanya.
