DAP gerakkan kempen tandatangan desak PN kekalkan 4 projek infrastruktur
DAP Pulau Pinang melancarkan kempen mengumpul tandatangan bagi menyokong empat projek infrastruktur yang diluluskan ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) namum dibatalkan pentadbiran Perikatan Nasional (PN).
Pengerusi DAP dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata pembatalan projek itu menunjukkan PN memang berniat untuk mengetepikan rancangan pembangunan di negeri terbabit.
Empat projek infrastruktur itu merangkumi, projek kereta kabel Pulau Pinang bernilai RM100 juta; Projek Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (RM800 juta); jaminan pinjaman kerajaan persekutuan untuk pembinaan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT); serta feri Pulau Pinang.
"Malah (ketua menteri terdahulu) Lim Guan Eng pernah berkempen semasa pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu dan bertanya kepada pengundi adakah mereka menyokong projek-projek ini," kata Chow sambil menambah bahawa rakyat berharap PH kekal berkuasa di Pulau Pinang.
Selepas memenangi PRU14, tambah Chow, ketika PH menjadi kerajaan selama 22 bulan mereka memulakan langkah untuk memajukan projek infrastruktur terbabit, termasuk mencari dana.
“DAP Pulau Pinang menggesa kerajaan PN untuk menghentikan dendam politik terhadap Pulau Pinang dan rakyatnya.
“Kempen tandatangan ini akan berfungsi untuk mengumpulkan rakyat menentang pengkhianatan kerajaan PN ke atas Pulau Pinang dan segera mengusahakan semula empat projek infrastruktur ini," kata setiausaha DAP Pulau Pinang, Lim Hui Ying yang membaca kenyataan kepimpinan negeri.
Sementara itu, DAP Pulau Pinang juga menyatakan, negeri itu memperoleh pulangan kecil berbanding sumbangan sebanyak RM94.7 billion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2019.
Ia meletakkan Pulau Pinang sebagai penyumbang keempat terbesar KDNK berbanding negeri lain serta mencatat sumbangan pendapatan tahunan sebanyak RM7 bilion.
Untuk menyertai kempen itu, orang ramai boleh menurunkan tandatangan sokongan di pusat ahli parlimen DAP, anggota dewan undangan negeri dan pejabat DAP negeri.
Sebagai alternatif, kempen itu juga membuka ruang untuk tandatangan secara dalam talian.

