Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Semakin genting - 3,027 kes baru, 8 kematian
Diterbitkan:  Jan 7, 2021 5:12 PM
Dikemaskini: 11:14 AM

Penularan wabak Covid-19 semakin genting di negara ini dengan 3,027 kes baru dilaporkan setakat ini. Semalam, Malaysia merekodkan 2,593 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu sekali gus menyaksikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan kini berada pada 25,742 kes manakala jumlah keseluruhan kes pada 128,465.

Semalam, dia memberi peringatan mengenai keadaan wabak Covid-19, dengan mencadangkan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang lebih "disasarkan" untuk mengurangkan tekanan pada sistem penjagaan kesihatan.

Katanya, sistem penjagaan kesihatan kini bergelut dengan pertambahan jumlah pesakit dan sedang berada pada "tahap genting" (breaking point).

Perangkaan hari ini, menunjukkan Johor mengatasi negeri-negeri lain dengan 1,103 kes atau 36.4 peratus daripada jumlah kes hari ini manakala Selangor pula mempunyai 706 kes 923.3 peratus).

Negeri-negeri lain adalah seperti berikut:- Sabah (493), Kuala Lumpur (316), Pulau Pinang (111), Kelantan (66), Negeri Sembilan (63), Perak (59), Kedah (30), Pahang (25), Putrajaya (17), Sarawak (14), Melaka (11), Terengganu (10) dan Labuan (3).

Hanya Perlis yang tidak mempunyai sebarang kes.

Dr Noor Hisham berkata, bagi kes penularan di dalam negara, 1,577 kes adalah warganegara Malaysia (52.2 peratus) dan 1,444 kes adalah bukan warganegara.

Sementara itu, daripada keseluruhan 3,027 kes baru hari ini, terdapat enam kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Menurutnya, terdapat sembilan kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini.

Kluster-kluster berkenaan adalah:

  • Kluster Senai Murni di daerah Kulai di Johor. 66 kes.
  • Kluster tapak bina Hartamas di tempat kerja melibatkan daerah Hulu Langat di Selangor. 48 kes.
  • Kluster Damai Pelangi di sebuah pusat tahanan di daerah Hulu Selangor di Selangor. 21 kes.
  • Kluster tapak bina Jalan Ipoh di daerah Kepong di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.98 kes.
  • Kluster Rungkup di daerah Kepong di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. 20 kes.
  • Kluster Desa Setapak di daerah Titiwangsa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. 15 kes.
  • Kluster Jalan Jaya membabitkan daerah Cheras di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. 7 kes.
  • Kluster Ziarah Putra di Wilayah Persekutuan Putrajaya. 7 kes.
  • Kluster Keranji Tabuan di daerah Kuching di Sarawak. 6 kes.

“Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 316 kluster, termasuk tujuh kluster yang tamat pada hari ini iaitu kluster Cempaka, kluster Hilir, kluster Karamunting, kluster Lengkuk, kluster Prestij, kluster Sutera, dan kluster tapak bina Sungai Udang.

“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 254 kluster. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 52 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini,” katanya.

Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baru tertinggi adalah kluster Bukit Pasir (779 kes), kluster Dataran Utas (156 kes), dan kluster Beringin (101 kes).

Dr Noor Hisham juga memaklumkan terdapat sebanyak 2,145 kes pulih Covid-19. Dengan perkembangan itu, katanya, ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 102,723 atau 79.96 peratus.

“Sehingga kini, terdapat 142 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 63 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan lapan kes kematian berkaitan Covid-19," katanya.

Daripada jumlah itu tujuh mangsa adalah warga negara.

Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sekarang adalah sebanyak 521 kes atau 0.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

 

Lihat Komen
ADS