Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'ROS kata permohonan Pejuang tak ada masalah, tapi kena rujuk menteri'

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) telah memenuhi semua syarat bagi menjamin permohonan pendaftarannya sebagai parti politik diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), kata pegerusi penajanya Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, kata Mahathir, ROS berkata pihaknya perlu merujuk permohonan kepada menteri yang bertanggungjawab terlebih dulu.

Menurutnya, dalam pertemuan terakhir antara ROS dan setiausaha Pejuang Amiruddin Hamzah, jabatan itu berkata tiada masalah dalam permohonan mereka.

"Saya nak jelaskan yang Amiruddin kerap jumpa dengan ROS. Kali terakhir ROS beritahu semuanya okey, tapi kena rujuk kepada menteri.

"Ini bermakna proses pentadbiran sudah jadi perkara politik, melebihi peruntukan undang-undang.

"Kenapa (perlu) rujuk menteri? Ini tak diwajibkan mengikut undang-undang," katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Dia bagaimanapun tidak menyebut secara jelas menteri yang dimaksudkannya. ROS adalah di bawah bidang kuasa Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin.

Semalam, ROS memaklumkan kepada Pejuang dan sebuah lagi parti baru yang cuba didaftarkan, Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bahawa permohonan mereka ditolak.

Mahathir menubuhkan Pejuang dengan beberapa ahli Parlimen yang dibuat daripada Bersatu, antara lain kerana membantah langkah parti itu untuk keluar daripada PH dan membentuk Perikatan Nasional (PN).

Dalam pada itu, Amiruddin berkata ROS memaklumkan permohonan mereka ditolak kerana ia dibuat secara tidak teratur - berdasarkan Jadual 1 Akta Pertubuhan 1966 - dan penolakan berdasarkan Peruntukan 7(e) akta tersebut.

"Kita berpandangan telah memenuhi semua syarat dalam Jadual 1, bahkan ROS mencadangkan perubahan dalam perlembagaan kita.

"Dan kita hantar balik (permohonan) kepada mereka. Tetapi ini keputusan yang kita dapat daripada ROS," katanya lagi.

'HSR tak penting'

Dr Mahathir turut diminta mengulas penamatan projek Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

Dia berkata HSR bukanlah satu projek yang penting dan akan memakan masa sepuluh hingga 20 tahun untuk disiapkan.

"Dan sistem ini perlu meliputi jarak yang lebih luas untuk kita dapatkan penjumaan dari segi masa. Ia hanya meliputi 230 kilometer...Kos membina HSR kira-kira RM80 bilion. Kita tak akan dapat semula wang kita," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS