Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kerajaan Pulau Pinang sedia ambil alih feri ikonik

Kerajaan Pulau Pinang sedia mempertimbangkan cadangan mengambil alih perkhidmatan feri ikonik di negeri itu sekiranya Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) sedia memberikan kemudahan itu kepada kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang pada Rabu lalu membuat ketetapan jika kerajaan Persekutuan tidak berminat untuk meneruskan perkhidmatan feri ikonik itu, kerajaan negeri akan mempertimbangkan pengambilalihan pemilikannya.

"Kerajaan negeri amat memahami sentimen rakyat tempatan yang rata-rata tidak setuju dengan penamatan perkhidmatan feri ikonik itu, jadi dalam usaha memelihara kesinambungan perkhidmatan berkenaan, kami akan mempertimbangkan pengambilalihan.

"Memandangkan SPPP dan PPSB tidak mempunyai rancangan masa depan untuk mengekalkan feri-feri ikonik sebagai kaedah pengangkutan, maka kerajaan Pulau Pinang ingin mencadangkan agar feri-feri ini diberikan sebagai ‘hadiah’ kepada rakyat dan negeri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Zairil dia sendiri akan berhubung dengan SPPP selaku pihak berkuasa dalam perkara berkenaan untuk membincangkan cadangan tersebut.

Katanya sejak 1 Jan lepas perkhidmatan bot laju penumpang antara Pangkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth dan Terminal Swettenham Pier Cruise di George Town bermula bagi menggantikan perkhidmatan feri ikonik yang sudah lama terkenal sebagai salah satu lambang simbolik Pulau Pinang.

Katanya bot laju itu hanya untuk kegunaan penumpang saja, manakala penunggang motosikal masih lagi boleh menggunakan perkhidmatan sebuah feri ikonik yang dikekalkan buat sementara waktu sehingga ketibaan bot pengangkut kenderaan baru yang dijangka sampai pada pertengahan tahun depan.

"Dalam erti kata lain, perkhidmatan feri ikonik ini hanyalah sementara dan menunggu masa sebelum digantikan dengan pengangkut kenderaan baru," katanya.

Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan menyatakan fasa pemodenan perkhidmatan feri akan dimulakan dengan memperkenalkan tiga bas air (untuk penumpang) bermula 1 Jan, diikuti dua pengangkut kenderaan yang hanya membawa kenderaan bermotor dua roda (seperti motosikal dan basikal) dan akan beroperasi mulai 2022.

Pada 17 Dis lepas, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz memberitahu Dewan Rakyat sejumlah RM30 juta diperuntukkan untuk pemodenan perkhidmatan feri itu yang akan disalurkan melalui dua pembayaran iaitu pada 2021 dan 2022.

- Bernama

Lihat Komen
ADS