Badan Kehakiman sedang mengkaji kemungkinan melantik semula hakim yang telah bersara bagi mempercepatkan pengendalian kes tertangguh.

Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz yakin langkah itu akan mendatangkan kesan yang baik kerana telah terbukti hasilnya di negara lain.

" Kami sedang mengkaji dan meneliti perkara itu. Kami akan lihat sama ada ia boleh dilakukan.Selain kes tertangguh, kes-kes baru juga semakin meningkat," katanya.

Menurut laporan Bernama, idea melantik hakim yang sudah bersara disuarakan oleh Ketua Hakim Mahkamah Agung New South Wales, Australia, J.J. Spigelman ketika berucap pada persidangan tahunan hakim yang berlangsung selama tiga hari di sebuah hotel di Putrajaya.

Ahmad Fairuz berkata mahkamah di New South Wales menggunakan khidmat beberapa hakim yang telah bersara bagi mengurangkan jumlah kes yang tertangguh.

Katanya Spigelman berpendapat bahawa pelantikan semula hakim yang sudah bersara tidak akan melibatkan perbelanjaan besar bagi kerajaan berbanding melantik hakim baru.

"Anda perlukan perbelajaan lebih kecil berbanding anda melantik hakim baru, kerana setelah beberapa lama kemudian, sekiranya hakim baru dilantik dan sebaik saja mereka sudah menyelesaikan kes tertangguh, mereka tidak akan ada kerja lagi,... susah pulak," kata beliau.

Satu lagi cara untuk membantu mengurangkan kes tertangguh, kata Ahmad Fairuz, ialah dengan menambah jumlah hakim.

Sehingga 30 Jun tahun ini, jumlah kes yang didaftar di Mahkamah Tinggi Sivil di negara ini ialah 75,995, manakala di mahkamah Tinggi Jenayah pula ialah 3,320.

Ahmad Fairuz juga berkata beliau akan mengemukakan kepada kerajaan secara terperinci cadangan bdan kehakiman untuk mewujudkan satu sistem kehakiman yang turut meletakkan hakim Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen di bawah badan kehakiman.