Masih parah - 2,643 kes baru, 16 kematian
Penularan wabak Covid-19 masih parah di negara ini dengan lagi 2,643 kes baru dicatatkan hari ini berbanding 3,027 kes semalam. Pada Rabu lalu Malaysia merekodkan 2,593 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu sekali gus menyaksikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan kini berada pada 25,140 kes manakala jumlah keseluruhan kes pada 131,108.
Daripada jumlah 2,643 kes baru itu, 1,666 kes membabitkan warganegara Malaysia (63 peratus) manakala 975 kes adalah bukan warganegara. Ini termasuk dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara
Perangkaan hari ini, menunjukkan Selangor kembali mendahului negeri-negeri lain dengan 1,086 kes atau 41.1 peratus daripada jumlah kes hari ini. Ini diikuti oleh Sabah sebanyak 401 kes (15.2 peratus) dan Johor sebanyak 298 kes (11.3 peratus).

Negeri-negeri lain adalah seperti berikut:- Kuala Lumpur (282), Kedah (107), Negeri Sembilan (88), Perak (80), Pulau Pinang (75), Melaka (70), Kelantan (49), Terengganu (34), Pahang (28), Putrajaya (20), Sarawak (16), Labuan (6) dan Perlis (3).
Ini menjadikan semua negeri kini mempunyai kes.
Dr Noor Hisham dalam kenyataan medianya, hari ini berkata, terdapat enamn kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini.
Kluster-kluster berkenaan adalah:
- Kluster Jalan Klinik di daerah Klang di Selangor. 132 kes.
- Kluster tapak bina Hevea di daerah Petaling di Selangor. 30 kes.
- Kluster Bukit Belimbing di daerah Petaling dan Klang di Selangor. 33 kes.
- Kluster Kauran di daerah Keningau di Sabah. 55 kes.
- Kluster Kapital di daerah Lembah Pantai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. 72 kes.
- Kluster Setapak Indah di daerah Titiwangsa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. 16 kes.
“Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 319 kluster, termasuk tiga kluster yang tamat pada hari ini iaitu kluster Jalan Bomba, kluster Makmur, dan kluster tapak bina Galeri.
“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 257 kluster. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 57 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini,” katanya.

Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah kluster Sungai Putus (374 kes), kluster Jalan Klinik (132 kes), dan kluster Penjara Jalan Harapan (73 kes).
Dr Noor Hisham juga memaklumkan terdapat sebanyak 2,708 kes pulih Covid-19. Dengan perkembangan itu, katanya, ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 105,431 atau 80.4 peratus.
“Sehingga kini, terdapat 170 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 82 kes memerlukan bantuan pernafasan.
"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan 16 kes kematian berkaitan Covid-19," katanya.
Daripada jumlah itu semua 16 mangsa adalah warga negara.
Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sekarang adalah sebanyak 537 kes atau 0.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

