Najib bela Ahmad Maslan
Bekas perdana menteri Najib Razak mendakwa video membabitkan pandangan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mengenai rasa tidak puas hati parti itu kepada Perikatan Nasional (PN) "sengaja diputar belit."
Katanya antara pengkritik Ahmad itu termasuklah dalam kalangan pemimpin Umno sendiri.
"Cuba tonton video Ahmad Maslan ini sepenuhnya dan dengar betul-betul apa yang dia cakap.
"Dia kata ketidakadilan perundangan dan salah guna kuasa kerajaan semasa gagalkrasi PH (Pakatan Harapan) bawah Mahathir (Mohamad) tidak diperbetulkan oleh kerajaan PN.
"Dia tidak merujuk kes-kes saya atau mana-mana kes pemimpin Umno, tapi merujuk secara spesifik kepada 121 kes lucut hak serta kompaun melibatkan 41 pihak yang disita dan 80 orang yang dikompaun," katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Ahmad sebelum ini berkata antara sebab utama Umno tidak berpuas hati kepada PN adalah kerana gabungan itu - yang tidak disertai Umno - meneruskan kes-kes mahkamah membabitkan parti terbabit serta pemimpinnya.
Ahmad - yang menjadi seorang daripada pemimpin Umno yang dibicarakan - berkata perkara itu sebenarnya mengatasi rasa tidak puas hati Umno dalam soal agihan jawatan dalam kerajaan.
“Satu lagi rasa tidak puas hati ialah bukan kerana jawatan sangat, tetapi kerajaan sekarang meneruskan kezaliman kerajaan dahulu. Ini tak wajar dibuat.

“Kes-kes yang dibawa ke mahkamah ini ialah kezaliman zaman (bekas perdana menteri) Dr Mahathir Mohamad, (bekas peguam negara)Tommy Thomas dan (bekas ketua pesuruhjaya SPRM) Latheefa Koya.
“Mahathir dah tak ada dalam kerajaan, Tommy Thomas tak tahu ke mana, Latheefa Koya pun tak tahu pergi mana. Tetapi kenapa kes yang mereka bawa ini diteruskan?” soalnya dalam satu sesi bual bicara.
Hari ini Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegur Ahmad agar tidak mengulas kes-kes mahkamah itu seolah-olah mewakili Umno.
Menurut Khairy kenyataan ahli parlimen Pontian itu tidak mewakili pendirian parti.
"Kamu dan beberapa yang lain akan kelihatan ingin melihat campur tangan pihak eksekutif dalam proses kehakiman, maka kita ini sama seperti Tommy Thomas dan (Lim) Guan Eng,” katanya.
Menurut Najib kes yang disebut Ahmad itu hanya merujuk kepada wang yang diberikannya sebelum pilihan raya umum (PRU) lalu.
"Sengaja mereka disusahkan sebab kerajaan PH nak teruskan propaganda untuk mengenakan saya," katanya.
Dengan memberikan beberapa contoh kes mahkamah, Najib mendakwa ia sebagai bukti kerajaan PH menyalahgunakan kuasa untuk mengenakan pemimpin Umno seperti Ahmad serta bekas ahli parlimen Johor Bahru, Shahrir Samad.
"Kenapa ketidakadilan ini tidak diperbetukan selepas kerajaan PN mengambil alih?" katanya.

