Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelajar ambil SPM boleh hadir ke sekolah dengan SOP ketat
Diterbitkan:  Jan 11, 2021 7:01 PM
Dikemaskini: 11:01 AM

Pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) tahun ini dibenarkan untuk hadir ke sekolah, termasuk di negeri dan wilayah persekutuan yang dikuatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, prosedur operasi standard (SOP) akan dikenakan dan ia akan diumumkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

"Walaupun terdapat sekatan pergerakan yang ketat, khususnya di negeri dikenakan PKP, pengecualian diberikan kepada pelajar dan calon peperiksaan utama termasuk peperiksaan SPM bagi sesi 2020 dan 2021.

"Mereka dibenarkan hadir ke sekolah dengan SOP yang ketat. Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia akan memperincikan SOP ini," katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan I, Muslimin Yahaya memaklumkan pelajar tingkatan lima tahun 2020 yang dijadual menduduki peperiksaan SPM pada Februari ini perlu hadir ke sekolah seperti biasa apabila sesi persekolahan dibuka semula 20 Januari ini.

Katanya, ia bagi memberi peluang kepada proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka sebelum kumpulan tersebut berdepan peperiksaan besar.

Berkenaan kegiatan keagamaan, Muhyiddin berkata di kawasan yang dikenakan PKP, hanya ahli jawatankuasa masjid atau rumah ibadat dengan jumlah maksimum lima orang.

"Bagi negeri yang dikenakan PKPP dan PKPB, aktiviti keagamaan masih dibenarkan dengan bilangan kehadiran minimum yang ditetapkan di dalam SOP.

"Pihak berkuasa agama negeri disaran untuk memberi penetapan yang bersesuaian dalam menetapkan jumlah kehadiran yang dibenarkan," katanya.

Hari ini, Muhyiddin mengumumkan penguatkuasaan kawalan pergerakan selama 14 hari, bermula 13 Jan hingga 26 Jan.

Sebanyak enam negeri, iaitu Pulau Pinang, Selangor Melaka, Johor dan Sabah serta tiga wilayah persekutuan, iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, dikenakan perintah itu.

Negeri-negeri lain pula sama ada dikenakan PKP Bersyarat (PKPB) atau PKP Pemulihan (PKPP).

Baca: PKP mulai 13 Jan di 8 negeri, wilayah persekutuan

Lihat Komen
ADS