Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar diminta serah nama calon jawatankuasa bebas darurat

Menteri Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan telah menghantar surat kepada ketua pembangkang Anwar Ibrahim meminta supaya menyerahkan tiga calon daripada pihak pembangkang untuk menubuhkan jawatankuasa bebas yang akan mengesyorkan kepada Yang di-Pertuan Agong sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal.

"Ya, YB (Takiyuddin) telah menghantar surat awal petang hari ini kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Menteri telah meminta pembangkang menyerahkan tiga calon untuk mewakili pembangkang Jawatankuasa Bebas," kata satu sumber dari Jabatan Perdana Menteri (JPM) kepada Malaysiakini.

Sumber itu yang enggan dinamakan, bagaimanapun enggan menjelaskan lebih lanjut mengenai kandungan surat itu.

Untuk rekod, semalam Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan perkara berkenaan pada kenyataan.

"Seri Paduka Baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos, 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

"Al-Sultan Abdullah turut berkenan terhadap cadangan kerajaan bagi pembentukan satu jawatankuasa bebas yang akan dianggotai oleh ahli-ahli parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkait.

"Jawatankuasa bebas ini akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal," kata kenyataan itu lagi.

Dihubungi kemudian, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan Saifuddin Nasution mengesahkan penerimaan surat tersebut.

"Ya, saya telah menerima panggilan daripada Takiyuddin berhubung perkara tersebut.

"Saya juga menerima surat tersebut bagi pihak ketua pembangkang," katanya kepada Malaysiakini.

Saifuddin turut memberitahu bahawa telah meminta Takiyuddin berhubung terma dan rujukan jawatankuasa bebas tersebut.

“Saya ada bertanya mengenai terma rujukan dan komposisinya”

“Ini kerana jumlah ahli parlimen kerajaan dan pembangkang sama. Bahkan dengan perkembangan mutakhir ini mungkin pembangkang yang lebih,” katanya.

Menurut Saifuddin, Takiyuddin berjanji akan memberi maklum balas dalam masa terdekat.

Lihat Komen
ADS