Malaysiakini
BERITA

Kumpulan MP rentas parti gesa k'jaan tangani kesesakan penjara

Diterbitkan
Dikemaskini 14 Jan 2021, 7:36 pagi

Sekumpulan ahli parlimen daripada kerajaan dan pembangkang mendesak kerajaan persekutuan untuk menggunakan kuasa mereka mengatasi kesesakan penjara yang telah menyumbang kepada penularan Covid-19.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) berkata pembebasan segera banduan yang berkelayakan dan berkelakuan baik merupakan langkah penting untuk menangani penambahan kes dalam kluster penjara dan kluster komuniti berkenaan.

Kumpulan itu berpendapat bahawa ini akan membantu mengurangkan kluster penjara kluster komuniti yang berdekatan.

"Pihak eksekutif yang kini mempunyai kuasa mengawal dan bertanggungjawab sepenuhnya digesa untuk menyegerakan penyelarasan antara kementerian dan agensi kerajaan berkaitan, pakar kesihatan awam, dan wakil masyarakat sivil untuk menjalinkan kerjasama dan memberi sokongan kepada Jabatan Penjara dalam melaksanakan Pembebasan Banduan Secara Berlesan (PBSL) dengan melaksankan program integrasi semula banduan dan masyarakat berdasarkan fakta.

"Malaysia ketinggalan jauh berbanding 50 buah negara lain dalam melaksanakan pembebasan awal dan integrasi semula banduan bersama masyarakat bagi mengurangkan kesesakan penjara ketika pandemik Covid-19.

"Tidak ada lagi alasan untuk melengahkan tindakan segera ini," kata kumpulan itu.

KRPPM terdiri daripada Azalina Othman Said (Umno-Pengerang, timbalan speaker Dewan Rakyat), Rohani Abdul Katim (PBB-Batang Lupar), Vell Paari (MIC, senator), Nurul Izzah Anwar (PKR-Permatang Pauh), Mohd Azis Jamman ( Warisan-Sepanggar), Liew Chin Tong (DAP, senator) dan peguam Sangeet Kaur Deo dan Amin Karlos.

Pada bulan Oktober, Jabatan Penjara telah menyatakan bahawa, pada waktu itu, ada 11,018 tahanan yang memenuhi syarat untuk "dibebaskan dengan izin", yang bermaksud bahawa seorang tahanan dapat dibebaskan sementara.

Tidak diketahui berapa banyak yang telah mendapat pembebasan berkenaan.

Untuk rekod, terdapat banyak kluster jangkitan melibatkan penjara yang muncul setelah bulan September.

Pada masa ini, kluster Jalan Harapan - yang berasal dari penjara Sungai Buloh di Selangor dan telah tersebar di seluruh negara - adalah kluster terbesar di negara ini.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.