Paling Popular
Terkini

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali akan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman terhadapnya oleh 10 pengundi berdaftar di parlimen Gombak.

Peguam Azmin, Nizamuddin Abdul Hamid hari ini mengesahkan mereka akan mengemukakan permohonan itu sebelum 16 Februari, yang merupakan tarikh pengurusan kes saman utama.

"Kami akan mengemukakan permohonan di bawah Aturan 18 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012 untuk membatalkan saman itu.

"Pembatalan itu berhubung saman itu tidak memiliki alasan tindakan yang wajar, atau dengan kata lain bahawa saman itu bersifat melampau, menjengkelkan dan sembrono.

"Pada akhirnya kami percaya Pernyataan Tuntutan ini adalah penyalahgunaan proses mahkamah," kata peguam berkenaan ketika dihubungi hari ini.

Dia berkata demikian selepas pengurusan kes tuntutan mahkamah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini dilaporkan seramai 10 pengundi berdaftar di parlimen Gombak memfailkan saman terhadap Azmin atas dakwaan melanggar janji yang dibuat menjelang pilihan raya umum ke-14.

Menurut salinan Pernyataan Tuntutan, 10 individu terbabit mendakwa Azmin telah menipu dan melanggar kewajipan fidusiari melalui ‘Langkah Sheraton’ yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang, Februari lalu.

Azmin yang merupakan bekas timbalan presiden PKR, kini merupakan ahli majlis tertinggi Bersatu.

Lihat Komen
ADS