Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS ada banyak dalil pertahan kebatilan PN - Adun Amanah
Diterbitkan:  Jan 14, 2021 4:42 PM
Dikemaskini: 8:42 AM

Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil membidas Presiden PAS, Abdul Hadi Awang kerana mempertahankan pengisytiharan darurat dengan menyifatkannya selaras politik Islam.

Faiz berkata dia tidak terkejut kerana PAS memiliki banyak 'dalil' untuk menghalalkan apa sahaja 'kebatilan' yang dilakukan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa proklamasi darurat selaras dengan politik Islam bukanlah sesuatu yang memeranjatkan memandangkan PAS mempunyai banyak dalil untuk menghalalkan apa sahaja kebatilan kerajaan Perikatan Nasional (PN),"kata Adun Amanah itu dalam satu kenyataan.

Semalam, Abdul Hadi berkata pengisytiharan darurat bagi menyekat penularan wabak Covid-19 adalah berlandaskan konsep Siyasah Syar'iyyah (politik Islam).

Kata Hadi, beberapa negara juga telah mengisytiharkan darurat kesihatan, sama ada dilaksanakan di seluruh negara atau kawasan yang terhad.

Bagaimanapun menurut Faiz, nasihat Muhyiddin agar darurat diisytiharkan menimbulkan banyak tanda tanya, memandangkan perintah kawalan pergerakan (PKP) atau PKP bersyarat (PKPB) memadai bagi meratakan lengkung jangkitan Covid-19. 

"Ironinya, pentadbiran kerajaan termasuk eksekutif dan kehakiman serta industri dan perniagaan dibenarkan beroperasi seperti biasa kecuali parlimen," kata anak kepada bekas presiden PAS, Fadzil Noor itu.

Tambahnya, apabila parlimen digantung, fungsi utama badan legislatif itu untuk melakukan semak imbang terhadap polisi kerajaan juga tidak dapat dilaksanakan.

"Justeru, penggantungan parlimen telah menyekat ahli parlimen untuk berbahas dan berdebat atas sesuatu isu berkepentingan awam dan negara.

"Oleh itu, darurat yang dipertahankan oleh PAS ini tidak selaras dengan konsep dan politik Islam yang sebenar," katanya. 


Lihat Komen
ADS