Malaysiakini
BERITA

Tentera boleh tahan, ambil tindakan pesalah ingkar PKP - Ismail Sabri

Diterbitkan
Dikemaskini 14 Jan 2021, 1:06 tengahari

Pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini mempunyai bidang kuasa menahan dan mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata di bawah pelaksanaan Ordinan Darurat, bidang kuasa tentera dan polis adalah sama dan ini akan memudahkan pengurusan Covid-19 dengan lebih baik.

“Kalau dahulu ATM hanya boleh ambil tindakan kalau ada kegiatan rentas sempadan di jalan tikus, sekarang mereka boleh menahan suspek untuk tindakan lanjut tanpa menunggu kehadiran polis,” katanya dalam sidang media perkembangan PKP di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata ia akan berkuat kuasa sepanjang tempoh Ordinan Darurat dilaksanakan sehingga Ogos depan.

Pada Selasa, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat yang dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di negara ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dan tindakan tegas bakal diambil terhadap mereka yang mahu merentas negeri terutamanya di kawasan PKP bermula Sabtu ini.

Beliau berkata kompaun akan dikenakan secara terus di lapangan kerana melanggar perintah ditetapkan.

“Bagi tempoh tiga hari sehingga esok, kita (kerajaan) masih dalam ‘mood’ memberi nasihat dan tiada tindakan dikenakan. Tetapi selepas esok, polis tidak akan berkompromi lagi,” katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan pelaksanaan PKP di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah untuk tempoh 14 hari bermula 13 hingga 26 Jan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata negeri lain di bawah PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) boleh dikenakan PKP sekiranya Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati ada peningkatan mendadak kes Covid-19.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata ketua jabatan perkhidmatan awam perlu mempertimbangkan sistem penggiliran dan bekerja dari rumah (BDR) kepada ibu bapa yang bekerja dalam perkhidmatan perlu supaya dapat memantau anak-anak di peringkat sekolah rendah semasa pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.