Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tidak dapat meneruskan siasatan terhadap penggabungan kontroversi antara kumpulan perunding kewangan, ECM Libra Bhd dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Avenue Capital Resources Bhd kerana dikhuatiri mempengaruhi perbicaraan yang membabitkan kedua-dua syarikat itu sekarang.

Keputusan menghentikan siasatan itu dibuat setelah PAC mengambilkira nasihat dari Penasihat Undang-Undang Kementerian Kewangan hari ini.

Pengerusi PAC, Datuk Shahrir Samad berkata, Penasihat Undang-Undang berkenaan menasihatkan perbincangan mengenai penggabungan tersebut akan dianggap subjudis kepada perbicaraan saman sivil membabitkan kedua-dua entiti itu yang sedang berjalan sekarang.

Saman sivil itu membabitkan bekas pembantu Tun Dr Mahathir Mohamad, Matthias Chang (foto bawah kiri) dan Timbalan Pengerusi kumpulan NSTP, Datuk Kalimullah Hassan (foto kanan) .

"Penasihat undang-undang kementerian telah memberikan tafsiran luas tentang perkara subjudis itu," kata Shahrir bila dihubungi selepas mempengerusikan mesyuarat PAC di bangunan Parliamen hari ini.

Walaupun menyetujui siasatan itu akan menjadi subjudis kepada perbicaraan kes berkenaan namun Shahrir yang juga ahli Parlimen Johor Bharu tetap berpendapat kajian dan penelitian terhadap latar belakang Avenue Capital tidak akan menjejaskan kes tersebut.

Ditanya samaada ini bererti siasatan itu sudah berakhir, Shahrir berkata jawatankuasa itu akan mencari jalan lain untuk meneruskannya di samping mendapatkan nasihat undang-undang terhadap apa yang dianggap subjudis.

Semalam beliau mengesahkan menerima surat dari peguam Chang yang memberi amaran akan mendakwa beliau menghina mahkamah jika PAC meneruskan siasatan terhadap penggabungan ECM Libra-Avenue Capital.

Kementerian Kewangan juga dikatakan telah menerima surat yang sama.

Penggabungan antara kedua-dua syarikat itu mendapat perhatian ramai kerana ia diluluskan sebaik sahaja menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin membeli saham dalam ECM-Libra manakala Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Menteri Kewangan pula bertanggungjawab menyelia urusan GLC.

Ekoran kontroversi tersebut, Naib Ketua Pemuda Umno itu telah menjual semua sahamnya dalam firma perunding kewangan itu dua minggu lalu.

Kalangan pemerhati bagaimanapun melihat tindakan menghalang siasatan PAC itu melangkaui isu undang-undang.

"Kem Dr Mahathir mungkin bimbang Shahrir yang dilihat sebagai orang Pak Lah itu akan mencungkil sejarah Avenue Capital dan membongkar cerita-cerita lama ," kata seorang pemerhati yang merujuk kepada Datuk Mokhzani, anak Dr Mahathir yang menguasai Avenue Assets sebelum ini.

Avenue Assets ditukar namanya kepada Avenue Capital pada tahun 2003.

Dalam mesyuarat PAC pada 10 Ogos lalu, didapati proses penggabungan itu dibuat mengikut prosidur tetapi PAC mahu menyiasat samaada wujud percanggahan kepentingan membabitkan Abdullah dan Khairy dalam urusniaga tersebut.

PAC juga bimbang kerajaan akan kehilangan kawalan ke atas Avenue Capital apabila sebuah syarikat kerajaan yang besar "ditelan" oleh sebuah syarikat swasta yang jauh lebih kecil dalam proses penggabungan berkenaan.

Chang sedang menghadapi saman sivil sebanyak RM50 juta dari Kalimullah yang juga merupakan Pengerusi ECM-Libra. Bekas pembantu Dr Mahathir itu telah membuat tuntutan balas sebanayak RM100 juta terhadap Kalimullah.