Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Jangan cipta gelora dengan minta presiden Umno berehat'
Diterbitkan:  Jan 15, 2021 5:34 PM
Dikemaskini: 11:55 AM

Sekarang bukan masa untuk mencipta gelora dalam Umno dengan meminta Zahid Hamidi "berehat" daripada menjalankan tugasnya sebagai presiden.

Exco Pemuda Umno, Mustafa Shah Abdul Hamid, berkata ahli Umno sepatutnya bersatu padu dan berdiri teguh di belakang presiden ketika Umno berdepan situasi sukar.

"Bagi saya, ini bukan masa yang sesuai untuk mencipta gelora di dalam parti ketika kita sedang membina kekuatan dan keutuhan bagi mengembalikan sokongan rakyat.

"Ahli Umno sepatutnya bersatu padu, berdiri teguh di belakang presiden ketika mana Umno berdepan situasi sukar selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

"Ketika parti mengalami kejatuhan, dalam keadaan yang serba kekurangan, Ahmad Zahid masih mencurahkan bakti dan sanggup menjadi presiden di dalam keadaan Umno sebagai pembangkang," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Terdahulu, Ketua Pemuda Umno Pontian, Helmi Buang mempertahankan pendiriannya supaya presiden Umno berehat secara terhormat.

Jelasnya, apa yang disuarakannya adalah pandangan peribadi bagi melihat parti itu kembali meraih kepercayaan rakyat dalam PRU-15.

"Saya reda, terpulang kepada pucuk pimpinan parti jika nak hukum saya.

"Saya pejuang Umno, bukan pejuang individu. Kita nak yakinkan rakyat, jika undi 18 dilaksanakan, Umno akan dilihat lemah dan mereka (pengundi muda) beralih kepada parti lain.

"Saya pertahankan pendirian (supaya presiden berehat) saya dan tak akan berpatah balik," katanya kepada Malaysiakini.

'Serah kepada perwakilan akar umbi'

Sementara itu Ketua Pemuda Umno Pagoh, Faizal Salleh mahu kedudukan presiden sama ada ditolak akar umbi atau sebaliknya ditentukan dalam pemilihan parti.

Dalam meraikan pendapat, katanya, ahli Umno perlu mempertahankan istitusi presiden tidak kira siapa yang memegang jawatan itu.

Oleh katanya, pemilihan Umno yang sepatutnya diadakan tahun ini tidak perlu dipinda.

"Harapan saya, jika itu yang terbaik untuk presiden dan parti, maka berjiwa besarlah dengan pandangan semua. Uruskan persepsi dan sentimen ini dengan baik, jangan sesekali menidakkan sentimen dan persepsi rakyat.

"Kita dengar, sentimen akar umbi mahukan presiden turun dan kita kena buktikan sentimen tu melalui pemilihan.

"Serah kembali kepada perwakilan akar umbi untuk pemilihan Presiden dan barisan kepimpinan," katanya.

'Jangan musnahkan rumah kita'

Sementara itu Ketua Pemuda Umno Selangor, Rizam Ismail dalam kenyataannya menyifatkan desakan supaya Ahmad Zahid berehat adalah tidak kena ketika mana keadaan politik dan ekonomi tidak stabil.

"Dalam keadaan politik yang tidak stabil dan ekonomi yang tidak menentu janganlah kita mengeruhkan lagi keadaan dengan memusnahkan ‘rumah’ kita dari dalam.

"Ini bukan masanya untuk kita berpecah belah dan berantakkan sesama sendiri," katanya dalam satu kenyataan.

Sebaliknya kata Rizam, pemimpin di peringkat bahagian perlu tunjuk contoh yang baik kepada akar umbi dan bersikap matang.


Lihat Komen
ADS