Hishamuddin minta isu hunus keris dilupakan
Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata, isu beliau menghunus keris dalam Perhimpunan Agung Umno lalu tidak perlu diungkit oleh mana-mana pihak kerana ia tidak bertujuan mencabar sesiapa.
Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata, isu beliau menghunus keris dalam Perhimpunan Agung Umno lalu tidak perlu diungkit oleh mana-mana pihak kerana ia tidak bertujuan mencabar sesiapa.
Tegasnya, menghunus keris bukan bererti seseorang itu mahu mengancam atau mahu menikam orang lain, ia hanya simbol semata-mata.
" Malah keris juga tidak boleh dikaitkan dengan satu-satu kaum sahaja."
"Baru-baru ini Timbalan Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon juga menjulang keris dan ini bermakna keris bukan lagi hanya untuk kaum Melayu sahaja," katanya dalam sidang media sempena Perhimpunan Agung Pemuda MCA ke-43 di ibu negara hari ini.
Katanya, isu menjulang atau menghunus keris tidak penting tetapi saranan dan isu kaum yang dibawa oleh sesebuah parti itu yang lebih mustahak.
Beliau berkata, keris, baju, istilah dan warna kulit tidak penting kerana yang perlu diutamakan ialah semua rakyat boleh bersaing di peringkat dunia.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran bercakap tentang isu menghunus keris bagi mengulas ucapan Ketua Pemuda MCA, Datuk Liow Tiong Lai dalam perhimpunan itu yang menyarankan istilah Ketuanan Melayu ditukar kepada Warisan Kedudukan Orang Melayu.
Dalam Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) lalu, Hishamuddin telah menghunus keris bagi menunjukkan perjuangan Pemuda Umno mendaulatkan Agenda Melayu.
Hishamuddin berkata, sudah sampai masanya semua komponen Barisan Nasional bersikap rasional menangani semua isu-isu yang dianggap sensitif.
Sambil merujuk kepada isu ucapan kontroversi timbalannya, Khairy Jamaluddin di Kedah pada minggu lalu yang dikatakan menguris perasaan pemimpin MCA dan Gerakan, Hishamuddin menegaskan, penjelasan isu tersebut akan dibuat mengikut saluran tertentu tanpa menimbulkan keresahan di kalangan ahli dan penyokong parti.
Katanya, Barisan Nasional (BN) mempunyai mekanisme sendiri dalam menyelesaikan isu-isu sensitif yang berlaku dalam komponen parti itu.
"Saya sendiri telah memberi penjelasan kepada Pemuda MCA mengenai kenyataan yang dibuat oleh Khairy baru-baru ini.
"Satu mesyuarat membabitkan semua komponen Pemuda BN akan dibuat tidak lama lagi bagi menjelaskan kekeliruan tersebut," tambahnya.
Ditanya mengenai ketidakhadiran Khairy dalam majlis perasmian tersebut, Hishamuddin berkata, timbalannya itu pergi merasmikan mesyuarat perwakilan Pemuda Umno Bahagian Kuala Selangor.
Khairy, sejak menjadi Naib Ketua Pemuda Umno dua tahun lalu, hadir pada setiap majlis perasmian perhimpunan agung tahunan Pergerakan Pemuda MCA.
Justeru, ketidak hadiran beliau hari ini menimbulkan pertanyaan dan mula dikaitkan dengan kontroversi yang timbul daripada ucapannya di Kedah minggu lepas lalu bahawa kaum Cina akan mengambil kesempatan daripada kelemahan Umno sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan beberapa pemimpin parti komponen BN.
Khairy bagaimanapun telah menegaskan bahawa mereka tersalah faham maksud ucapannya dan akan menjelaskan kepada rakan-rakan sejawatannya dari parti komponen BN.
Perhimpunan Agung Pemuda MCA dirasmikan oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Chan Kong Choy kira-kira jam 10 pagi tadi. Hadir sama ialah beberapa bekas Ketua Pemuda MCA seperti Tan Sri Lee Kim Sai dan Datuk Yap Pian Hong.

