Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Datuk' mohon maaf serang pelanggan di restoran
Diterbitkan:  Jan 18, 2021 6:07 PM
Dikemaskini: 10:07 AM

Seorang lelaki bergelar “Datuk” yang direman dua hari bersama rakannya kerana disyaki terlibat dalam kes pukul serta ugut seorang lelaki di sebuah restoran di Tropicana Avenue, Petaling Jaya minggu lalu tampil membuat permohonan maaf.

Mengakui kesalahannya, Datuk berusia 42 tahun itu berkata dia dan mewakili rakannya ketika malam kejadian memohon maaf kepada dua mangsa - seorang lelaki dan perempuan.

“Bagi menjernihkan keadaan, saya mengaku saya dan rakan saya telah melakukan tindakan yang tidak wajar dan melampau.

“Ini kerana pada ketika itu saya dan rakan saya berada dalam keadaan yang tidak rasional lalu saya sangat marah kerana merasakan maruah saya sebagai orang yang lebih berusia tercalar ketika ditegur oleh pemuda tersebut,” katanya yang membaca kenyataan bahasa Melayu dalam satu rakaman video.

Dalam kejadian jam 9 malam di restoran TNT di Tropicana Avenue pada 12 Januari, lelaki terbabit menyerang mangsa lelaki dan menampar seorang pelanggan wanita lain sebelum meninggalkan restoran itu.

Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila suspek berang ditegur seorang pelanggan di restoran berkenaan kerana bercakap dengan nada suara yang tinggi.

Menurutnya dalam rakaman video itu, keadaan semakin kecoh apabila rakannya, 39, bertindak menampar mangsa apabila rakannya itu mengatakan yang mangsa telah memukulnya.

Pada masa sama, katanya ketika itu dia telah menampar mangsa perempuan terbabit.

“Saya sangat menyesal atas tindakan saya yang di luar kawalan itu kerana saya dan rakan saya pun dah mabuk ketika itu.

“Saya berharap anda semua tidak melibatkan keluarga saya dan rakan saya dalam hal ini kerana kejadian ini berlaku atas tanggungjawab kami sendiri (kerana) adalah tidak wajar untuk kita melibatkan orang yang tidak ada kena mengena dalam hal ini.

“Saya tidak berharap perkara ini tidak dipanjangkan kerana untuk pengetahuan semua, kami telahpun menyerahkan diri kepada pihak berkuasa dan kami akan menerima apa sahaja hukuman yang akan dikenakan ke atas kami,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan bahawa mangsa lelaki berusia 31 tahun, yang bekerja sebagai pengurus, membuat laporan polis berikutan insiden itu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan, serta Seksyen 503 dan Seksyen 506 kanun keseksaan kerana ugutan jenayah.

Lihat Komen
ADS